Home Nasional LRA Langat 2 bekal air bersih mulai tahun depan

LRA Langat 2 bekal air bersih mulai tahun depan

Dr Zaini Ujang mendengar taklimat Program Hari Alam Sekitar Friends of Langat River dan Pelancaran Langat Education Centre di UKM Bangi.

BANGI – Penduduk Hulu Langat akan mula menikmati bekalan air bersih dari Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 menjelang pertengahan tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr. Zaini Ujang berkata, LRA Langat 2 kini sudah 90 peratus dibangunkan dan dijangka siap Julai depan.

Katanya, lebih sejuta penduduk di kawasan itu akan menikmati faedah daripada air yang disalurkan terus menerusi kawasan tadahan dari Sungai Kelau dan Sungai Bilut di Pahang.

Projek itu disalurkan melalui Empangan Kelau di Pahang merentasi Banjaran Titiwangsa sepanjang 48 kilometer.

“Penduduk Hulu Langat bakal menikmati bekalan air ini selepas pembinaan loji siap pada tahun depan dan penduduk Lembah Klang pula selepas kerja pemasangan paip di Koridor Utara dan Koridor Barat yang akan siap pada tahun 2019,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Alam Sekitar ‘Friends Of Langat River’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Katanya, 25 peratus bekalan air terawat ini merangkumi 1.13 juta liter air sehari. – MalaysiaGazette