Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Pembangunan pesat oleh kerajaan negeri terutamanya di kawasan lereng bukit ‘mungkin’ merupakan antara punca banjir dan tanah runtuh di Pulau Pinang.

Bencana tersebut merupakan yang terburuk dalam tempoh 20 tahun.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau tidak berniat untuk mempolitikkan bencana banjir di Pulau Pinang namun pada waktu sama tidak menolak projek pembangunan di negeri itu telah menyumbang kepada bencana tersebut.

“Saya tiada niat untuk politikkan isu ini. Tetapi pada masa yang sama, saya mohon tolong jangan laksanakan sebarang projek di tepian lereng bukit. Anda sendiri nampak bagaimana insiden tanah runtuh berlaku. Di Tanjung Bungah, ada keruntuhan jalan raya dan perumahan, nasib baik rumah-rumah itu belum diserah kepada pembeli lagi. Belum ada CF lagi.

“Patut dan boleh dielakkan insiden seperti ini. Saya juga mohon supaya kerajaan negeri memberi perhatian dan fokus untuk penyelesaian banjir demi kebajikan dan keselamatan negeri ini sebelum meluluskan sebarang projek pembangunan. Ini lebih penting.

“Banjir yang sama berlaku di Kedah tetapi tidak seburuk di Pulau Pinang kerana bukit bakau dan hutan belum dibangunkan. Oleh yang demikian, ianya boleh menyedut hujan apabila turun tidak henti. Keadaan masih selamat sedikit di Kedah.

“Kami jangkakan banjir ini tidak akan reda sehingga sehingga angin monsun barat daya beralih ke timur laut seperti negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang pada penghujung November ini,” katanya selepas sesi taklimat status terkini banjir di Pulau Pinang di Jabatan Pengariran dan Saliran di sini hari ini.

Tambah beliau, jumlah hujan sebanyak 250 milimiter dalam tempoh 24 jam sejak 4 November melebihi kategori hujan amat lebat iaitu 150 milimiter sehari.

“Dengan jumlah hujan yang tidak dijangka seperti ini mana-mana bandar juga boleh dilanda banjir teruk.

“Apabila hujan turun tanpa henti dan sekiranya kita membersihkan hutan dan bukit, ia sebenarnya akan mengurangkan kapasiti penyerapan air di kawasan itu dan akhirnya menyebabkan banjir,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, sebanyak RM1.04 bilion dibelanjakan dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) hingga RMK-11, manakala Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang diluluskan dengan jumlah RM150 juta dan dijangka bermula pada 2018.

Jabatan Kebajikan Masyarakat menyatakan sehingga kini, sebanyak 46 pusat pemindahan di Pulau Pinang telah dibuka, melibatkan 1,731 keluarga dengan mangsa lebih 5,200 orang.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan) mendengar penerangan daripada Timbalan Ketua Pengarah Sektor Bisnes, Datuk Ir. Dr. Md. Nasir Md. Noh (kiri) berhubung isu banjir yang berlaku di utara semenanjung ketika melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir di Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) cawangan Ampang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2017. -MalaysiaGazette