Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Ekonomi digital dikenalpasti menjadi pemangkin utama ekonomi negara pada masa depan dimana ia dijangka akan menyumbang 20% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2020, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, mengambilkira kepentingan ekonomi digital kepada negara, pihak kerajaan sudah mengambil langkah yang signifikan dalam memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membantu penglibatan rakyat menggunakan platform tersebut dalam perniagaan mereka.

“Dibawah E Usahawan dan E Rezeki, ekonomi digital telah dikenal pasti sebagai sebuah enjin yang dapat mengukuhkan ekonomi negara.

“Pada tahun 2016, menurut Jabatan Perangkaan Negara, ekonomi digital telah menyumbangkan 18.3% kepada KDNK negara dan dijangka akan meningkat kepada 20% sebelum tahun 2020,” kata Najib di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL,09 NOVEMBER 2017.

Dua program tersebut diperkenalkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang bertujuan memberi ilmu dan tunjuk ajar kepada usahawan belia dan mikro dalam menggunakan platform media sosial dan digital sebagai medium untuk meningkatkan jualan dan menjana pendapatan.

Sehingga September 2017, seramai 92,926 usahawan muda dan desa telah mengikuti program E Usahawan .

Daripada jumlah tersebut, seramai 27,190 atau 29% mula melaporkan jualan tambahan yang berjumlah lebih RM112 juta.

Berdasarkan jumlah itu, sebanyak 59% peserta adalah wanita.

Dalam pada itu, setakat September 2017 pula seramai 101,693 individu telah dilatih melalui pusat dan wakil E Rezeki di seluruh negara dan daripada jumlah ini sebanyak 57,672 individu atau 57% berjaya menjana pendapatan dgn jumlah terkumpul berjumlah lebih RM81 juta.

Program E Rezeki adalah berdasarkan konsep crowdsourcing, dengan tumpuan khusus diberikan kepada model berasaskan perkhidmatan.

Program ini bertujuan untuk memberi manfaat terutamanya kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah, dengan membuka peluang dan membolehkan mereka meraih peluang pendapatan menerusi kaedah digital.

Selain itu, langkah mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) merupakan satu lagi inisiatif kerajaan untuk merancakkan ekonomi digital dimana ia bakal membantu usahawan tempatan menembusi pasaran global, ujar Najib.

“Dalam usaha menggalakkan usahawan PKS memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa kerajaan telah mewujudkan inisiatif Zon Perdagangan Bebas Digital bagi membantu produk tempatan menembusi pasaran dunia melalu platform E Dagang.

“Inisiatif ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sebanyak 60,000 menjelang tahun 2025,” ujar Najib. – MalaysiaGazette