ISLAMABAD – Cuaca buruk disebabkan kabus tebal sejak dua minggu lepas, menyebabkan sejumlah 604 penerbangan dari Pakistan International Airlines (PIA) terjejas, lapor agensi berita China Xinhua.

Kabus tebal yang melanda beberapa wilayah di timur Punjab tersebut, di luar kawalan syarikat penerbangan, lantaran itu PIA terpaksa menangguhkan atau membatalkan penerbangan, menurut seorang jurucakap memetik laporan Express News.

Kawasan yang terlibat termasuk Multan, Faisalabad, Lahore, Bahawalpur, Sialkot dan Rahim Yar Khan, katanya.

Tambah jurucakap berkenaan, sejumlah 83 penerbangan terpaksa dijadual semula, 17 dilencongkan, 159 dibatalkan, manakala 200 lagi penerbangan ditunda.

Memandangkan kebanyakan pesawat digunakan untuk pelbagai perkhidmatan, kelewatan penerbangan sekali gus, menjejaskan 63 penerbangan lain di kawasan yang tidak mengalami masalah cuaca kerana kekurangan pesawat.-BERNAMA