Gambar arkib

KUALA LUMPUR – Air Asia Bhd hari ini membatalkan penerbangan ke beberapa destinasi termasuk Bali dan Lombok.

Pembatalan itu dibuat berikutan pengaktifan gunung berapi Gunung Agung di Bali.

Menerusi kenyataan, syarikat penerbangan tambang murah itu memberitahu, mereka kini sedang dalam penyelarasan dengan pihak berkuasa bagi menjalankan penilaian risiko untuk memastikan keselamatan operasinya.

“Penumpang yang terjejas akan dimaklumkan mengenai status penerbangan mereka dan pilihan yang disediakan menerusi alamat emel berdaftar yang diberikan.

“Penumpang penerbangan yang dibatalkan berhak untuk memilih salah satu daripada pilihan pemulihan perkhidmatan ditawarkan,” kata AirAsia dalam kenyataan itu.

Menurut Ai Asia lagi, penumpang yang terlibat boleh menukar masa penerbangan baru dalam tempoh 30 hari tanpa dikenakan kos tambahan namun, tertakluk kepada kekosongan semasa penerbangan yang dipilih.

Mereka juga boleh memilih sama ada mengekalkan nilai tambang di dalam akaun yang dikreditkan untuk penerbangan akan datang yang boleh ditebus dalam tempoh 90 hari daripada tarikh tiket dikeluarkan.

Sehubungan itu, AirAsia menasihatkan penumpang yang terlibat agar memeriksa maklumat berkaitan perkara otu di laman web www.airasia.com dan laman media sosial AirAsia untuk pengumuman selanjutnya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.