Home Nasional Loji jana kuasa Lebir tidak dibangunkan

Loji jana kuasa Lebir tidak dibangunkan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk tidak membangunkan Loji Jana Kuasa Hidro Elektrik Lebir.

Kementerian Tenaga, Teknolohi Hijau dan Air berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambik kira perkembangan tenaga boleh baharu dan keperluan bekalan elektrik sehingga tahun 2036.

Bagaimanapun, untuk Loji Jana Kuasa Hidro Elektrik Nenggiri pula, kajian sedang dan telah dilaksanakan untuk menilai kebolehlaksanaan projek termasuk yang dilaksanakan oleh UKM Pakarunding Sdn. Bhd. untuk mengkaji impak sosial terhadap komuniti Orang-Orang Asli di kawasan terlibat.

“Hasil daripada kajian-kajian ini membolehkan kerajaan mengambil langkah-langkah sewajarnya.

“Oleh itu, kerisauan orang awam terhadap kedua-dua projek tersebut tidak timbul,” katanya.

Sebelum ini, Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) telah membuat laporan polis terhadap Menteri Tenaga, Teknolohi Hijau dan Air serta Tenaga Nasional Berhad supaya menghentikan kerja-kerja pembinaan Empangan Nenggiri dan Empangan Lebir di Kelantan.

Laporan polis turut dibuat terhadap UKM Pakarunding yang melaksanakan kajian untuk mendapatkan pandangan Orang-Orang Asli mengenai projek Empangan Nenggiri dan Lebir.

Kementerian menjelaskan, cadangan untuk membangunkan loji hidro elektrik Nenggiri dan Lebir dibuat mengambil kira loji-loji itu boleh memenuhi keperluan tenaga elektrik pada waktu puncak di Semenanjung.

Ia juga mengurangkan risiko banjir dan gangguan bekalan air mentah di hilir, selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan sumbangan tenaga boleh baharu dalam penjanaan elektrik. – MalaysiaGazette