Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bercakap pada sidang media selepas ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 09 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Malaysia boleh menjalinkan hubungan diplomatik dan memberikan kerjasama kepada Amerika Syarikat (AS) dalam pelbagai hal tetapi tidak akan berkompromi dalam soal prinsip berkaitan soal kedaulatan dan Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, isu pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang dibuat oleh AS bakal membawa kepada pertumpahan darah dan serius sekiranya tidak ditangani segera.

“Kita boleh kerjasama dalam bidang lain tapi dalam isu ini kita ada prinsip. Prinsip kita, kita tidak boleh terima kerana pertama sekali ini bertentangan dengan soal kedaulatan yang telah pun dipersetujui oleh PBB, negara OIC. Dan ini akan memberikan penyelesaian secara holistik.

“Di samping itu, ia akan membawa kepada ketegangan dan pertumpahan darah yang begitu serius, begitu dahsyat dengan sesuatu langkah yang perlu diambil. Tapi kerjasama kita dengan Amerika ini multideminsi jadi banyak aspek lain kita beri kerjasama tetapi dalam soal prinsip kita tetap,” katanya dalam sidang media selepas ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO di PWTC hari ini.

Tambah Najib, tentangan yang diterima oleh AS ketika ini bukan sahaja dalam kalangan umat Islam bahkan daripada pengamal agama-agama lain seperti Kristian.

Dalam perkembangan sama, Najib berkata, negara ini masih belum sampai ke peringkat ketenteraan bagi membendung isu di Tebing Barat itu sebaliknya hanya menggunakan pendekatan diplomatik.-MalaysiaGazette