Pemandu teksi, Jason Thomas. foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu teksi limo mendakwa dia bersama 19 lagi rakannya yang juga pemandu teksi menjadi mangsa penipuan seorang individu berkedudukan sebagai ‘ketua’ dalam sebuah parti politik.

Mangsa, Jason Thomas, 40, mendakwa, individu terbabit telah menyalahgunakan kuasanya apabila enggan membayar elaun pemandu teksi yang bernaung dibawah syarikat miliknya.

Menurut Jason, tindakan individu berkenaan yang menjalankan operasinya melalui kaunter teksi di Menara Kuala Lumpur telah menyebabkan dia dan rakan-rakannya yang lain kini berasa tertekan dan tersepit.

“Sebagai contoh ada kalangan kami yang terpaksa berhutang dengan ramai pihak kerana kesempitan dan kehabisan wang untuk ‘rolling’ bagi meneruskan hidup seharian seperti membeli makanan, mengisi petrol malah untuk membeli susu anak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jason berkata, individu terbabit pernah berjanji mulut akan membayar segala tunggakkan elaun dalam tempoh tiga hingga lima hari dari tarikh tuntutan dibuat awal bulan ini.

Katanya, dia berasa curiga dengan sikap individu terbabit apabila namanya dan beberapa lagi pemandu lain dikeluarkan daripada sebuah group Whatsapp pada 6 Disember lepas.

Menceritakan bagaimana dia dan pemandu lain terjebak untuk menyertai syarikat dimiliki individu terbabit Jason berkata, lelaki itu pernah menjadi ‘hero’ apabila berjuang membela nasib pemandu teksi ketika kewujudan perkhidmatan Grab dan Uber.

Katannya, individu berkenaan sering mengadakan pelbagai demonstrasi, piket malah turut membuat bantahan terhadap kerajaan kononnya mahu membela nasib pemandu teksi ekoran wujudnya perkhidmatan itu.

“Sehingga kini dianggarkan hampir RM10,000 elaun pemandu teksi yang masih tertunggak serta gagal dibayar.

“Mungkin pada sesetengah orang jumlah tersebut adalah sedikit namun, pada kami pemandu teksi ia amat besar,” ujarnya.

Jason turut mendedahkan, kaunter perkhidmatan teksi di Menara Kuala Lumpur yang diurus oleh individu terbabit menggunakan sistem kupon dan tidak menggunakan meter seperti mana yang diarah oleh kerajaan.

Jelasnya, semua pemandu teksi yang berdaftar dengan kaunter seliaan individu berkenaan perlu membayar sebanayak RM30 sebulan serta dikenakan caj perkhidmatan sebanyak 15 peratus untuk setiap kupon yang dikeluarkan.

Tambahnya, pemandu-pemandu teksi turut sering dimarahi dengan bahasa-bahasa kesat sekiranya enggan menurut segala arahan daripada individu terbabit.

Katanya lagi, satu laporan akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung perkara itu. – MalaysiaGazette