Home Dunia Warga Bangladesh cuba letup keretapi bawah tanah New York

Warga Bangladesh cuba letup keretapi bawah tanah New York

Akayed Ullah

NEW YORK – Seorang lelaki berusia 27 tahun dari Bangladesh meletupkan paip bom buatan sendiri yang diikat pada badannya di laluan keretapi bawah tanah New York yang penuh sesak pada awal pagi Isnin.

Bagaimanapun, bom itu gagal meletup dengan betul menyebabkan suspek mengalami kecederaan serius.

Manakala tiga lagi dilaporkan cedera ringan.

Suspek, Akayed Ullah memberitahu polis dia mahu membalas serangan udara Amerika Syarikat ke atas kumpulan Negara Islam.

Beliau juga memaklumkan mendapat insipirasi melakukan letupan itu daripada keganasan yang berlaku di Eropah semasa Krismas dan memilih lokasi tersebut melalui poster Krismas pada dinding di laluan keretapi bawah tanah.

Presiden Donald Trump menggunakan alasan serangan itu dengan meminta undang-undang Imigresen Amerika Syarikat diperketatkan.

Trump menyifatkan dasar sedia ada lemah sehingga membolehkan terlalu banyak orang yang berbahaya akses ke Amerika Syarikat.

“Serangan hari ini di New York City – serangan pengganas kedua di New York dalam dua bulan – sekali lagi menyoroti keperluan mendesak untuk Kongres membuat pembaharuan perundangan untuk melindungi rakyat Amerika,” kata Trump dalam satu kenyataan.

Ledakan yang berlaku di stesen keretapi bawah tanah di Terminal Bas Port Authority, tidak jauh dari bangunan ikon Times Square, mencetuskan panik kepada komuter dan gangguan perjalanan.

Video keselamatan litar tertutup menunjukkan keadaan kelam-kabut di stesen tersebut ketika bom meletup dan terdapat satu tubuh berada di atas tanah.

Pihak berkuasa berkata, kejadian itu menyebabkan erosakan minimum daripada letupan alat peranti mudah yang dilekatkan pada dada Ullah.

Ledakan itu menyebabkan badan dan tangan suspek luka terbakar dan kini dirawat di hospital dengan keadaan serius. – MalaysiaGazette