Naib Presiden Pas, Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Pas menyambut baik keputusan kerajaan membatalkan pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bagi permohonan visa umrah yang menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan orang ramai.

Bagaimanapun, parti itu berharap pembatalan berkenaan kekal, bukan bersifat sementara atau semata-mata umpan untuk menarik semula sokongan orang ramai kepada kerajaan menjelang PRU-14.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, Pas tidak yakin dengan pembatalan serta merta syarikat itu tanpa pihak kerajaan iaitu Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan memberikan apa-apa pampasan sebagai ganti rugi.

“Hari ini kerajaan terpaksa membatal pelaksanaan IMAMS. Apakah batal buat selama-lamanya atau kerana pilihan raya sudah dekat? Adakah syarikat yang telah dijanjikan untuk faraid sesama mereka boleh batal begitu sahaja?

“Apakah pampasan tidak diberikan kepada syarikat yang telah bersedia menahan ‘bubu’ untuk jamaah yang hendak mengerjakan haji?” soal beliau dalam kenyataan kepada media di sini.

Semalam, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan pembatalan IMAMS berkuatkuasa serta merta selepas mengambil kira pandangan dan bantahan rakyat serta pihak industri.

Katanya, kerajaan akan mencari mekanisme baharu yang lebih baik dan berkesan termasuk cadangan pengecualian GST serta jaminan dikendalikan orang Islam sepenuhnya.

Nasrudin Hasan

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, beliau sebelum ini pernah membangkitkan isu cadangan pelaksanaan IMAMS yang disifatkan masih kabur dan perlu dikaji semula.

Menurut beliau, kewujudannya bukan sahaja berkait dengan caj tambahan termasuk GST, malah keperluan agensi ‘one-stop centre’ seperti IMAMS menyebabkan berlaku pertindihan jawatankuasa dalam mengurus serta mengawal selia pengurusan umrah di negara ini.

“Saya ingin tegaskan sebarang langkah bagi membasmi kes penipuan pakej umrah ketika ini sangat wajar dilaksanakan dan disokong.

“Cuma kedudukan IMAMS dalam ‘big picture’ tersebut masih kabur apatah lagi pihak kementerian telah memperkenalkan Lesen Khas Umrah (LKU) serta penglibatan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang melibatkan 13 agensi utama termasuk Tabung Haji (TH), polis, Syarikat Penerbangan Malaysia, MATTA dan JAWHAR.

“Maka, mengoptimumkan peranan MKSU serta LKU sudah memadai dalam menangani kes penipuan itu,” ujarnya.

Kata Nasrudin, isu itu semakin kuat diperkatakan ramai pihak memandangkan caj tambahan turut melibatkan pembayaran GST serta kedudukan bukan Islam terlibat dengan IMAMS yang mengurus mengenai perihal umrah umat Islam.

Persoalannya, jelas beliau, mengapa pembayaran tersebut dikenakan, sedangkan peraturan 6(1A) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992 telah menjelaskan mengenai Skim Takaful Umrah.

“Bagi saya, caj tambahan itu hanya menyusahkan orang ramai walaupun kementerian pernah menyebut caj berkenaan sewajarnya ditanggung oleh pihak agensi.

“Saya harap kerajaan tidak melakukan ‘u-turn’ untuk kembali melaksanakan sistem IMAMS tersebut kelak.

“Pengumuman membatalkan IMAMS diharap bukan gimik politik bagi meleraikan bantahan ramai pihak semata-mata,” katanya.- MalaysiaGazette

Comments are closed.