Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di Kompleks Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), Cyberjaya. foto SAFWAN MANSOR, 19 DISEMBER 2017

CYBERJAYA – Dakwaan taikun, Robert Kuok bahawa agenda bumiputera yang diperjuangkan oleh kerajaan Malaysia telahmenganaktirikan kaum-kaum lain disangkal sama sekali oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman yang mempertahankan agenda bumiputera berkata,  polisi tersebut baik untuk dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengatasi ketidakseimbangan ekonomi berasaskan perkauman yang ditinggal penjajah.

“Agenda bumiputera bukanlah satu agenda yang menganaktirikan kaum lain seperti mana yang didakwa oleh seorang tokoh perniagaan yang kini bermastautin di Hong Kong (Robert Kuok).

“Tetapi ia merupakan sebuah polisi untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan ekonomi yang berasaskan perkauman hasil daripada lebih 100 tahun penjajahan,” kata beliau semasa sidang media sempena mesyuarat agungnya ke-5 di kompeks MaGIC, Cyberjaya hari ini.

Menurut Yazid, kekayaan jutawan-jutawan tersebut sebenarnya adalah hasil daripada hubungan baik mereka dengan kerajaan di mana mereka memperoleh banyak peluang perniagaan sama ada dengan pemberian tanah mahu pun permit-permit untuk menjalankan perdagangan.

“Mereka tidak boleh menafikan hubungan baik mereka dengan kerajaan menjadi faktor yang utama menyebabkan mereka mempunyai kelebihan membina perniagaan yang besar

“Dalam erti kata lain, boleh dikatakan kebanyakan jutawan-jutawan di Malaysia ini mempunyai hubungan baik, dalam terma ekonominya kroni kapitalisme adalah menjadi punca utama mereka mempunyai kekayaan,” katanya.

Jelasnya lagi, kenyataan Kuok sebenarnya amat mengecewakan kerana dilihat cuba menafikan sumbangan pihak-pihak lain yang membantu mereka menjana kekayaan yang besar sehingga sekarang.

“Jadi untuk mengatakan kebolehan mereka membina ekonomi adalah kerana mereka dan kaum mereka adalah sesuatu yang agak mengecewakan kerana menafikan sumbangan pihak-pihak yang menjadikan kekayaan mereka mencapai tahap yang dicapai hari ini,” ujarnya lagi.

Individu paling kaya di Malaysia itu baru-baru ini merakamkan pengalamannya dalam buku Robert Kuok: A Memoir.

Beliau menceritakan bagaimana dasar ekonomi yang memberi ruang dan peluang kepada orang Melayu telah disalahgunakan secara salah, dan kesalahan itu tidak boleh dipertikaikan.

Kuok dalam memoirnya merujuk kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970 melalui Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) untuk membetulkan ketidakseimbangan sosial ekonomi yang wujud di Malaysia di antara kaum-kaum, di antara wilayah-wilayah dan di antara kawasan di wilayah yang sama. – MalaysiaGazette