IMBAS KEMBALI..Mas Ermieyati Samsudin pada sidang akhbar Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pengendali Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu (IMAMS) akur dengan arahan kerajaan untuk membatalkan perkhidmatan tersebut serta merta pada 15 Disember lepas.

Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata syarikat tersebut akan terus memberi kerjasama kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta mana-mana pihak yang terbabit dalam memastikan transisi peralihan kesemua data dan sistem perjalanan umrah akan berlangsung dengan baik dan lancar, demi menjaga kepentingan jemaah umrah Malaysia.

Pembatalan IMAMS diumumkan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Sabtu.

Pengumuman pembatalan pelaksanaan sistem itu dibuat berikutan pelbagai reaksi masyarakat kerana ia dilihat akan mengakibatkan penambahan kos bagi mengerjakan umrah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pembatalan pelaksanaan sistem itu sebagai tindakan tepat dan beliau tidak bersetuju sistem IMAMS dikenakan untuk urusan visa umrah.- BERNAMA