Zania Nudi

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini kecoh isu Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) sehingga memaksa pucuk pimpinan campur tangan.

Ini kerana ibadat umrah di negara ini sensitif dan wajar pihak berkenaan mengambil iktibar.

Perlaksanaan sesuatu program harus diteliti impak daripada pelbagai sudut selain jalan keluar menangani sesuatu masalah semata-mata.

Justeru, sekumpulan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai kepakaran termasuk penganalisis dan pembangun sistem yang diketuai oleh Zania Nudi mendakwa pihaknya ada jalan keluar daripada kemelut isu penipuan pakej umrah.

Menurutnya, pemantauan dan pentadbiran berkaitan pakej umrah yang dilesenkan kepada 234 syarikat juga boleh dipantau melalui sistem ciptaan kumpulannya.

Lebih menarik, wanita berusia 57 tahun itu mahu menawarkannya secara percuma kepada kerajaan.

Beliau percaya kerajaan mungkin diberikan ‘maklumat yang salah’ sehingga Kabinet bersetuju mengenakan bayaran RM40 hingga RM90.10 bagi setiap kepala.

“Jadi, kumpulan saya yang terdiri daripada penganalisis dan pembangun sistem menemui alternatif membantu kerajaan melaksanakan hasrat murni membantu peserta umrah daripada ditipu oleh berbagai pihak.

“Reka bentuk khusus sistem berkenaan membolehkannya operasi dilakukan sangat berkesan. Ia bukan sahaja mengelakkan penipuan malah boleh ‘menangkapnya’ sebelum peserta tertipu,” ujarnya kepada Malaysia Gazette ketika dihubungi baru-baru ini.

Malah orang ramai juga boleh menyemak dan mendapatkan maklumat status terkini semua 234 syarikat umrah berlesen, katanya.

Beliau mendakwa berbanding sekarang, orang ramai agak sukar mendapatkan maklumat berkenaan yang membuka ruang dan peluang mereka ditipu.

Beliau berkata, selain rekod setiap syarikat dipantau, status permohonan setiap visa turut diketahui secara atas talian di seluruh dunia pada masa sebenar.

“Bukan sahaja sehingga mendapatkan visa tetapi juga status ketika di tanah suci dan tempat lain dalam pakej.

“Pembangunan sistem boleh disiapkan dan dimasukkan dalam talian internet keseluruh dunia dalam masa dua minggu sahaja jika pihaknya diberikan apa data yang diperlukan,” katanya.

Jika ia menjadi realiti, Zania mendakwa ia akan membolehkan semua pihak mengetahui apa yang dikehendakinya pada masa sebenar (real time) dan bila-bila masa sahaja asalkan boleh bersambung ke internet,” katanya.

Ditelah kenapa beliau sanggup memberikan perkhidmatan itu secara percuma kepada kerajaan, beliau berkata;

“Selain amat mudah untuk dibangunkan, kerajaan selalunya diberikan maklumat yang salah yang akhirnya kerajaan membuat keputusan yang tidak tepat yang sekali gus ‘backfired’ memberi imej buruk terhadap kerajaan, sebagaimana terbaru dengan sistem IMAMS ini.”- MalaysiaGazette