Keluarga mangsa sebak selepas mendapat perkhabaran mengenai pembunuhan Sharaf

BAITULMAQDIS – Seorang penduduk Palestin terbunuh selepas ditembak tentera rejim Zionis ketika menyertai demonstrasi di Semenanjung Gaza.

Menerusi kejadian itu, angka korban kini meningkat kepada 12 orang, lapor agensi berita antarabangsa The Gulf Today.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra melaporkan, mangsa terbaru itu dikenali sebagai Sharaf Shalash, 28 tahun, meninggal dunia semalam akibat mengalami luka yang teruk kesan daripada tembakan.

Katanya, mangsa ditembak pada Ahad lalu ketika menyertai demonstrasi di timur Jabalia membantah keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Sementara itu, menurut sumber, dua pemuda Palestin juga dilaporkan ditembak mati ketika tunjuk perasaan, kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Zakaria al-Kafarneh maut ditembak di timur Jabalia, manakala Mohammed Nabeel Mohaizen terbunuh di timur Gaza. – MalaysiaGazette