Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global Persatuan Pembedahan Sedunia (ISS) bagi penggal 2017-2021.

ISS mengumumkan perkara itu pada 25 Dis.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Dr Noor Hisham berkata pelantikan itu adalah sebahagian daripada tugas beliau sebagai Konsul Tugas Khas Jawatankuasa Eksekutif ISS.

Dr Noor Hisham dilantik menganggotai Lembaga Eksekutif ISS sebagai Konsul Tugas Khas bagi tempoh 2017 hingga 2021 seperti diumumkan pada 17 Ogos tahun ini pada Perhimpunan Agung Kongres Pembedahan Sedunia Ke-47.

“Inilah julung kalinya rakyat Malaysia mendapat pengiktirafan itu di peringkat ini, sekali gus merupakan satu lagi penghormatan bagi negara kita untuk menerajui dan memberi khidmat kepada persatuan global terkenal ini,” katanya.

Berhubung pelantikan beliau, Dr Noor Hisham berkata: “Dengan penuh syukur dan rendah hati, saya terima peranan sebagai pemimpin peringkat global ini untuk berganding bahu dengan semua cawangan dan wakil dari negara masing-masing untuk menyediakan rangka kerja program pengajaran dan latihan, khususnya di negara membangun, di samping menambah baik organisasi ini dalam menyesuaikan diri dengan perubahan berpandukan idea kreatif dan inovasi.

“Peranan ini juga akan menonjolkan ISS sebagai sebuah organisasai global yang membawa kemajuan dalam bidang pembedahan ke arah mewujudkan penjagaan berkualiti dan memberi fokus terhadap keselamatan pesakit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mengucapkan tahniah kepada Dr Noor Hisham atas pelantikan itu kerana ia merupakan pengiktirafan terhadap kepimpinan dan kecekapan profesional beliau.

“Paling penting, keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap perkhidmatan awam kita, yang tiada tolok bandingnya,” kata beliau.- BERNAMA