Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyampaikan ucapan perasmian pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke 53 di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 04 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong membidas DAP kerana cuba mengalihkan isu dengan membuat cabaran supaya mereka menamatkan hubungan dengan UMNO yang merupakan rakan utama mereka dalam Barisan Nasional (BN).

Walhal jelas Ka Siong, DAP sebelum ini yang menjalinkan kerjasama dengan Pas semasa pilihan raya umum sebelum ini malah pernah mengeluarkan kenyataan bahawa undi untuk DAP bermakna juga undi untuk Pas.

“Kenapa DAP ingin bekerjasama dengan Pas dalam PRU lalu?

“Kenapa sekarang pula nak membidas MCA? Guan Eng perlu rasa malu kerana pendiriannya telah berubah dengan membuat U turn,” beliau dipetik berkata.

Beliau juga membangkitkan hubungan DAP dengan Pas yang masih berlaku di Selangor walaupun mengatakan mereka sudah tidak lagi mempunyai kaitan kerana berpecah Pakatan Rakyat sebelum ini.

Menurut Ka Siong lagi, Guan Eng perlu menyalahkan dirinya sendiri kerana DAP pernah mengadakan kerjasama yang baik dengan Pas pada PRU lalu, malahan memberitahu kepada pengundi bahawa undi Pas bermakna undi DAP.

Guan Eng terdahulu mencabar MCA memutuskan hubungan dengan UMNO kerana sudah ada tanda-tanda menunjukkan UMNO semakin hari semakin rapat dengan PAS. – MalaysiaGazette