TPM pun akui peranan 'punahsihat' boleh menjejaskan sokongan rakyat kepada BN.

2018 adalah tahun bagi jentera Barisan Nasional (BN) kena mempersiapkan diri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tidak dapat tidak, pilihan raya ini tetap akan diadakan juga tahun ini kerana tempoh tamat penggal PRU 13 berakhir pada Jun ini.

Sejak tahun lepas lagi banyak ramalan mengatakan PRU ke-14 akan diadakan pada Julai dan kemudian beranjak ke bulan November musim cuti penggal ketiga persekolahan, tetapi semuanya meleset.

Namun, tahun ini ianya pasti akan berlaku. Cuma, bulannya masih menjadi teka teki. Ramai penganalisis termasuk pemimpin politik sendiri mengatakan PRU akan diadakan Mac ini.

Soal bila tarikh PRU ke-14 ditetapkan, biar Yang di-Petuan Agong, Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentukan, kerana itu memang tanggungjawab mereka.

Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Selepas itu, tarikhnya akan dibincangkan oleh SPR yang akan mengeluarkan writ untuk memanggil pilihan raya.

Walaupun semua tahu pilihan raya akan diadakan tahun ini, sejauh mana pula persiapan jentera parti masing-masing? Sudah bersiap sediakah jentera UMNO, MCA dan MIC sebagai komponen Barisan Nasional (BN) untuk berdepan dengan pihak lawan?

Umum tahu, PRU kali ini tidak seperti PRU sebelum ini. Kali ini menyaksikan kewujudan dua parti baharu iaitu Parti Amanah Negara (PAN) serpihan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serpihan UMNO. Keduanya bersama pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH).

Walaupun Pas tidak bersama PH, parti itu telah mewujudkan blok ketiga sebagai pembangkang. Dapatkah BN berdepan dengan cabaran yang begini besar?

Insya-Allah, BN boleh menang besar jika mereka mulakan gerak kerja dari sekarang. Lakukan perkara yang rakyat suka, selain pemimpin BN terutama UMNO membuat kenyataan yang agak cerdik dan diyakini rakyat.

Pada saat-saat ini, wajar juga kerajaan BN hentikan apa saja projek yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat dan pengundi. Apa yang rakyat tidak suka, jangan dibuat kerana undi ada di tangan mereka.

Sekali rakyat tersentak, undi beralih tangan. Yang sepatutnya diberikan kepada calon BN, bertukar kepada calon PH. Ini yang menakutkan. Rakyat adalah raja selama-lamanya, bukan bermusim.

Dengar khabar lebih 500,000 anak-anak muda lepas universiti terpaksa menanggung hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dan sebanyak itu juga nama mereka disenaraihitamkan kerana gagal membayar hutang. Ini menyebabkan kehidupan mereka terganggu. Mereka boleh memberontak melalui undi.

Ada baiknya kerajaan BN putihkan semua nama-nama itu. Kesian mereka. Bukan mereka tidak mahu bayar, tapi mereka belum ada pekerjaan tetap atau kerjaya yang menjamin masa depan untuk melangsaikan hutang.

Sekurang-kurangnya bila nama mereka diputihkan dari senarai ‘blacklist’, mereka akan berterima kasih dan undi mereka berpihak kepada BN.

Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN seharusnya bijak dalam memilih calon kali ini. Calon yang dua tiga kali kalah tidak perlulah dipilih lagi.

Ahli Parlimen, Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menang pada PRU13, tetapi tidak buat kerja dan menyakitkan hati rakyat, eloklah direhatkan. Sesungguhnya, kerajaan BN tidak rugi apa-apa kalau rehatkan golongan ini.

Satu perkara lagi yang Datuk Seri Najib harus ambil kira, cubalah dengar suara rakyat dan keluhan rakyat, bukan dengar suara penasihat atau “punahsihat” yang hanya bercakap atau memberi pandangan berdasarkan logik otak mereka sahaja.

Ketepikan pemimpin jenis kaki bodek. Pemimpin jenis bidan terjun yang hanya tunjuk muka menjelang pilihan raya sahaja. Pemimpin yang suka menayang kekayaan dan rasuah. Yang tua dan uzur pun jangan lagi dikekalkan. Mereka ini adalah liabiliti kepada BN.

Ramai lagi pemimpin di bawah sana berstandard tinggi, semangat juang mereka benar-benar menjiwai rakyat dan disukai rakyat, tetapi disisihkan oleh kepimpinan peringkat negeri dan bahagian. Padahal, mereka ini yang patut dipilih sebagai calon.

Dalam hal ini, walaupun pahit dan payah, Datuk Seri Najib kena berani dan perlu ada kekuatan diri demi tranformasi. Berani berubah memerlukan pengorbanan yang besar kerana matlamat utama penubuhan parti dan kerajaan adalah untuk memperjuangkan nasib rakyat. Tanpa rakyat, tidak adalah kerajaan demokrasi sekarang.

Selain itu, cuba tinjau-tinjau peranan Pengerusi Perhubungan dan Jawatankuasa Negeri serta Ketua-ketua Bahagian dan jawatankuasanya, apa kerja untuk memenangkan hati rakyat yang telah mereka lakukan?

Pusat Daerah Mengundi (PDM) pula ada bilik gerakan masing-masing. Mereka harus digerakkan. Mereka harus dikejutkan dari berada dalam zon selesa. Nyatakan kepada mereka, ini masa untuk bekerja keras bukan masa untuk tidur lagi.

Senarai pemilih pengundi ada dalam tangan mereka. Mereka boleh semak semua nama-nama pengundi. Pengundi yang sudah meninggal dunia, yang lompat ke parti pembangkang padamkan nama berkenaan dalam senarai pengundi.

Pastikan yang hanya menyokong dan akan memberi undi kepada BN sahaja ada dalam senarai itu. Tumpukan perhatian kepada mereka. Barulah kepimpinan dapat membuat penilaian dan keputusan sebelum meletakkan calon boleh menang.

Pengundi luar juga jangan dilupai. Sentiasa dekati mereka sepanjang masa. Dalam laporan post mortem berhubung kekalahan calon BN di sesetengah kawasan Parlimen dan DUN pada PRU sebelum ini, pengaruh pengundi luarlah puncanya.

Kalau kepemimpinan BN sudah tahu semua kelemahan ini dan punca kekalahan, cubalah cari kaedah terbaik untuk mengatasinya. Yang penting kaedah itu dipraktikkan, bukan kembali kepada cara lama atau lupa kehendak rakyat bila tiba PRU.

Memenangi hati rakyat bukan payah. Rakyat sama seperti kita juga. Ada hati dan perasaan. Apa yang mereka suka, itu yang mereka sokong. Tapi percayalah, rakyat tidak minta lebih atau di luar kemampuan kita. Cukup dengan keperluan hidup mereka dijaga.

Saya yakin kerajaan boleh lakukan apa yang rakyat hendak. Itupun kalau mereka meletakkan kepentingan rakyat ditempat utama, bukan kepentingan diri nombor satu. – MalaysiaGazette