KUALA LUMPUR – Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan tidak membantah permohonan beliau bagi mengembalikan perkenan Yang Dipertuan Agong sebelum satu-satu akta itu diluluskan.

Permohonan itu difailkan Anwar pada Selasa lalu, bagi menuntut Mahkamah Persekutuan bagi mencabar Akta Keselamatan Negara (MKN 2016) yang diluluskan di Parlimen tanpa perkenan Agong.

Anwar dalam satu kenyataan berkata pada Jun tahun lalu, Majlis Raja-Raja telah menyatakan kebimbangan terhadap rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara, yang memberi kuasa darurat kepada perdana menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

“Namun kerajaan BN memilih untuk tidak mengendahkan kebimbangan Majlis Raja-Raja ini dan terus mewartakan RUU tersebut tanpa perkenan diraja,” kata Anwar.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut berkata insiden seperti ini belum pernah terjadi dan perkenan Diraja adalah keperluan mandatori sebelum sesebuah rang undang-undang dijadikan akta di peringkat kerajaan.

“Pengembalian keperluan mandatori perkenan diraja ini adalah untuk menjamin keseimbangan perlembagaan di antara pihak kerajaan yang dipilih dan institusi Raja-Raja Melayu yang kita warisi turun-temurun.

Ia juga akan memelihara dan mempertahan peranan dan kedudukan Raja-Raja Melayu dan integriti institusi raja berperlembagaan. Raja-Raja Melayu memainkan peranan penting dalam memastikan pihak eksekutif tidak menyalahguna demokrasi dan kerangka perlembagaan negara,” jelas Anwar lagi.

Dalam permohonan itu, Anwar meminta perisytiharan bahawa Seksyen 12 Akta Perlembagaan 1983 (Pindaan), Seksyen 2 Akta Perlembagaan 1984 (Pindaan) dan Seksyen 8 Akta Perlembagaan Pindaan 1994 adalah bertentangan dengan Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan, kerana parlimen tidak mempunyai hak untuk meluluskan pindaan itu. -MalaysiaGazette.