Home Utama Hutang kerajaan terurus

Hutang kerajaan terurus

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menafikan hutang Kerajaan Persekutuan berada di paras bahaya.

Datuk Seri Najib Razak berkata, pada akhir Jun 2017, hutang Kerajaan Persekutuan mencatat 50.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mana ia masih di bawah paras had yang ditetapkan kerajaan iaitu 55 peratus daripada KDNK.

Ini menunjukkan hutang Kerajaan masih kekal terurus malah ia semakin berkurang 53.2 peratus pada akhir Jun 2016.

Ini merupakan pencapaian yang patut dibanggakan, tambah beliau.

“Bukan itu sahaja, nisbah hutang Kerajaan berbanding KDNK Malaysia adalah lebih baik berbanding negara maju seperti Singapura pada paras 112 peratus, United Kingdom pada 89.3 peratus, Kanada pada paras 92.3 peratus dan banyak lagi contoh-contoh yang lain.

“Justeru adalah tidak benar jika ada yang menuduh kerajaan bakal muflis hanya berdasarkan hutang Kerajaan Persekutuan apabila badan ekonomi antarabangsa seperti Bank Dunia yang menaikkan unjuran KDNK daripada 4.9 peratus kepada 5.2 peratus bagi tahun 2017,” katanya menerusi blog beliau.

Najib berkata, malah tidak masuk akal untuk mengatakan negara akan muflis apabila banyak negara luar mahu melabur dan merangka perjanjian perdagangan dengan Malaysia.

Jelas beliau, meskipun kerajaan hari ini menghadapi cabaran fitnah pembangkang yang mengharapkan ekonomi Malaysia ranap semata-mata untuk mendapat kuasa, kerajaan hari ini akan sentiasa mencari jalan mengukuhkan ekonomi negara bagi menaikkan nama negara setaraf dengan kuasa besar ekonomi dunia yang lain. – MalaysiaGazette

Comments are closed.