Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berucap pada majlis Breakfast Talk Integriti - Kelestarian Keamanan anjuran Institut Intergiti Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 11 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad selesai memberikan keterangan berhubung siasatan terhadap pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

“Isa Samad selesai beri keterangan selepas solat Jumaat tadi,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Mohd Isa berada selama lima jam di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi sesi merakamkan keterangan berhubung isu berkenan.

Beliau hadir tepat jam 10.30 pagi tadi dengan ditemani empat pegawai Felda.

Sebelum itu, Pengarah JSJK, Datuk Amar Singh Ishar Singh bagaimanapun berkata, sesi mendapatkan keterangan Mohd Isa masih diteruskan selepas solat Jumaat.

“Sesi rakam keterangan Mohd Isa masih berjalan, kita sambung semula selepas solat Jumaat,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Menara 238.

Mohd Isa dipanggil polis selepas media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM270 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015. -MalaysiaGazette.