Kebanyakan percanggahan bagaimanapun berlaku antara PKR dengan DAP serta antara PKR, Pribumi dan PAN.

KUALA LUMPUR – Rundingan Pakatan Harapan mengenai pengagihan kerusi pilihan raya berdepan kebuntuan di 10 peratus kawasan.

China Press melaporkan, keadaan itu berlaku kerana sesetengah kawasan telah diintai sehingga dua atau tiga parti pembangkang.

Kebanyakan percanggahan bagaimanapun berlaku antara PKR dengan DAP serta antara PKR, Pribumi dan PAN.

“Sekiranya pertikaian tidak dapat diselesaikan, maka kami akan menyerahkan isu berkenaan kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan,” kata sumber kepada akhbar tersebut.

Walau bagaimanapun, Amanah yang pada masa ini hanya memegang enam kerusi Parlimen telah disahkan akan bertanding di lebih 20 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Amanah dijangka menumpu di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan.

Tiga tunjang utama Amanah termasuk presidennya, Mohamad Sabu; naib presiden, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa serta timbalan ketua pemuda, Faiz Fadzil akan bertanding di Pulau Pinang.

Sementara itu, MCA dilaporkan telah menetapkan hala tuju enam naib presidennya untuk PRU-14.

Datuk Hou Kok Chung dan Datuk Chua Tee Yong masing-masing akan bertanding di Tebrau dan Labis di Johor, Datin Paduka Chew Mei Fun (Raub, Pahang) dan Datuk Lee Chee Leong (Kampar, Perak).

Datuk Chong Sin Woon yang juga Ketua Pemuda MCA akan bertanding di Seremban, Negeri Sebmbilan sementara Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie di Gopeng, Perak. – MalaysiaGazette