KOTA BHARU, 7 Jan -- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) bersalaman dengan warga pendidik ketika hadir pada Majlis Kesyukuran Warga Pendidik Kelantan di Dewan Sri Tunjong hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
KOTA BHARU – Rakyat Kelantan perlu mengubah kerajaan negeri yang kini dipimpin PAS bagi membawa lebih banyak kemajuan ke negeri itu, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyifatkan sikap kepimpinan kerajaan negeri tidak selari dengan hasrat kebanyakan penduduk di negeri ini yang mahukan pembangunan pesat dalam pelbagai bidang agar ia setanding dengan negeri-negeri lain.

“Sikap kerajaan negeri yang tidak serius dalam membangunkan Kelantan adalah satu perkara yang rakyat Kelantan harus ketahui. Kita tak mahu rakyat Kelantan terus ketinggalan (berbanding negeri-negeri lain),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran Warga Pendidik Kelantan di Kompleks Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengarah Pendidikan Kelantan Muhammad Zahari Othman.

Mustapa mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah baru-baru ini yang dilaporkan sebagai berkata kerajaan negeri sengaja melambat-lambatkan pembangunan di Kelantan agar ia dapat dinikmati oleh rakyat di negeri ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi banyak peluang kepada rakyat negeri ini untuk menjawat jawatan penting dalam sektor awam dan swasta sejak sekian lama.

Ini, katanya akan memberi peluang kepada tokoh-tokoh berkenaan untuk menyumbang kembali kepada pembangunan Kelantan jika majoriti rakyat memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) untuk kembali mentadbir negeri tersebut pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Dalam pada itu, Mustapa yang juga pengerusi BN Kelantan berkata pihaknya akan terus mendekati warga pendidik di negeri ini dengan cara yang paling berhikmah agar kumpulan itu memberikan sokongan kepada parti yang memerintah kerajaan ketika ini.

“Kami akan terus berdamping dengan guru-guru kerana mereka merupakan tonggak kepada sesebuah negeri. Mereka juga berpengaruh dalam kalangan masyarakat kerana ada yang menjadi imam, ada yang jadi pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan sebagainya,” katanya.- BERNAMA