Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Sebarang rasa tidak puas hati terhadap hasil pembahagian kerusi serta pengumuman calon Presiden Pakatan Harapan (PH) akan dibawa kepada peringkat tertinggi untuk ditangani sebaiknya.

Itu janji Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub berhubung rasa tidak puas hati peringkat akar umbi berhubung pembahagian kerusi yang sedikit kepada partinya.

“Saya percaya bahawa rundingan kerusi Pakatan Harapan (PH) di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sama ada yang telah dan sedang berlangsung dapat membantu menyelesaikan rasa tidak puas hati berhubung jumlah kerusi di peringkat Parlimen bagi semua parti dalam Pakatan Harapan.

“Bagi yang tiada kerusi DUN seperti Wilayah Persekutuan, maka ketidakpuasan hati ini akan ditangani dengan cara lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Ahad lalu, PAN Johor tidak puas hati dengan pembahagian kerusi PH pada PRU14 sehingga memboikot Konvensyen PH.

Ini kerana selepas parti itu hanya mendapat dua kerusi Parlimen iaitu Parit Sulong dan Pulai walaupun mereka memohon lima kerusi Parlimen di negeri itu.

Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, semua parti dalam gabungan pembangkang tidak berpuas hati dengan pengagihan 165 kerusi Parlimen di Semenanjung.

Pada konvensyen itu, pembahagian 165 kerusi Parlimen di Semenanjung menyaksikan PPBM menerima kerusi terbanyak iaitu 52 kerusi, diikuti PKR (51), DAP (35) dan Parti Amanah Negara (27). -MalaysiaGazette.