Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Azalina Othman membidas Majlis Peguam Malaysia kerana memboikot majlis Pembukaan Tahun Kehakiman 2018 yang disifatkan memberi imej buruk kepada badan kehakiman tersebut yang mempunyai 17,000 pengamal undang-undang.

Azalina Othman Said

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata tindakan itu menunjukkan mereka tidak matang dengan memberi alasan ketakhadiran disebabkan tidak dijemput untuk berucap dalam acara tahunan tersebut.

“Majlis Pembukaan Tahun Kehakiman ini telah dianjurkan sejak tahun 2010 lagi dan menjadi satu tradisi kepada semua pengamal undang-undang di negara ini untuk sama-sama menyertai upacara tersebut.

“Alasan yang diberikan oleh Majlis Peguam Malaysia untuk tidak hadir ke majlis ini amatlah tidak berasas kerana pada tahun ini selain Majlis Peguam Malaysia, Peguam Negara juga tidak berucap namun tetap hadir ke majlis yang bermakna ini.

“Malah Pertubuhan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak turut hadir ke majlis hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina juga menegur Majlis Peguam sepatutnya berpegang kepada profesionalisme yang tinggi dan tidak terikat dengan apa-apa pegangan peribadi.

“Majlis Peguam Malaysia seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada pengamal undang-undang di negara ini, kerana ketidak hadiran mereka telah memberi imej yang buruk kepada organisasi tersebut,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menyambut baik ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif yang membawa tema “Enhancing Acces to Justice Through Judicial Transformation”.

“Kerajaan hari ini begitu terbuka dalam melaksanakan pelbagai transformasi perundangan di samping memastikan rakyat mendapat akses terbaik kepada keadilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.