KUALA LUMPUR – Walaupun terpaksa ‘menelan kaca’ dengan menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pembangkang akan terus bersama pemimpin itu demi kuasa politik menjelang PRU-14.

Pada mereka, walaupun sedar tentang sejarah silam terutamanya pemerintahan ‘kuku besi’ bekas perdana menteri itu namun pembangkang mahu terus mempergunakan beliau demi agenda politik.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya (UM), Dr. Azmi Sharom terpanggil mempertikaikan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang memberi kuasa ‘luar biasa’ kepada Mahathir.

“Ubah apa sehingga terpaksa bawa masuk pemimpin lama dari UMNO? Ini bagaikan seperti ‘menelan kaca’ dengan menyokong dan mengundi Tun Mahathir.

“Saya secara peribadi tidak berpuas hati dengan pemilihan Tun Mahathir dan sokongan yang tidak berbelah bahagi diberikan (pimpinan PH) kepada beliau,” katanya pada sesi forum Pasca 1MDB di Malaysia: Apa Masa Depan Kita Ada di sini hari ini.

Antara lain yang menyertai forum tersebut termasuk bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan , Felo Institut Pulau Pinang, Dr. Wong Chin Huat dan Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia, Zaid Kamaruddin.

Namun beliau akan tetap menyokong serta mengundi pembangkang walaupun tidak setuju dengan pemilihan Mahathir.

“Saya secara peribadi tidak berpuas hati dengan pemilihan Tun Mahathir dan sokongan yang tidak berbelah bahagi diberikan kepada beliau namun saya tetap akan mengundi pembangkang tidak kira apa sahaja,” jelasnya.

Menurutnya, demi survival pembangkang di negara ini tidak mempunyai banyak pilihan dan terpaksa mengiktiraf Mahathir.- MalaysiaGazette