Mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Seri Mohd Jamidan Abdullah (kiri) bertukar dokumen penyerahan tugas kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pengurusan dan Profesionalisme) yang baharu, Datuk Jaafar Mahad (dua kanan) sambil disaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad (tengah) pada Majlis Paluan Berundur sempena persaraan beliau di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 22 JANUARI 2018.
PUTRAJAYA – Datuk Jaafar Mahad dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu berkuatkuasa 23 Januari ini.

Pelantikan Jaafar bagi menggantikan Datuk Seri Mohd. Jamidan Abdullah yang bersara wajib pada usia 60 tahun selepas berkhidmat selama 35 tahun.

Mohd. Jamidan memulakan kariernya di Badan Pencegahan Rasuah (BPR) dan kini SPRM sebagai pegawai siasatan Gred S3 di Perak pada tahun 1983.

Sepanjang perkhidmatannya, Mohd. Jamidan memegang pelbagai jawatan penting.

Antaranya Ketua Cawangan Siasatan Ekonomi pada tahun 1995 hingga 1997, Timbalan Pengarah Siasatan (1997-1998), Pengarah Bahagian Logistik (2000-2002), Pengarah SPRM Sarawak (2002-2003), Pengarah SPRM Johor (2004-2005),Pengarah SPRM Selangor (2006-2007), Pengarah Siasatan (2014-2015) dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya pada 2015.

Pengganti Mohd. Jamidan, Jaafar, 58 pula telah berkhidmat dalam BPR dan SPRM selama 34 tahun dan beliau sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Integriti di Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Sementara itu, Razaliah Ab. Rahman pula dilantik sebagai Pengarah SPRM Kuala Lumpur yang baharu berkuatkuasa 1 Februari depan.

Pelantikan Razaliah bagi menggantikan Datuk Han Chee Rull yang akan bersara wajib pada 1 Mac depan.

Pelantikan Razaliah itu bagi menyahut seruan kerajaan yang mengumumkan 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

Kerajaan berhasrat melibatkan lebih ramai wanita pada peringkat pengurusan atasan dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan berkanun. – MalaysiaGazette