Datuk Seri Idris Haron

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Melaka tidak akan mempedulikan persepsi dan gambaran buruk oleh parti pembangkang terhadap pentadbiran Barisan Nasional (BN) di negeri itu, sebaliknya akan terus dalam memberikan mutu perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata Datuk Seri Idris Haron.

Ketua Menteri itu yang juga Pengerusi BN negeri berkata, pembangkang sentiasa menggunakan peluang untuk memburuk-burukkan kerajaan bagi meraih sokongan rakyat dan ia bukan perkara baru di negeri ini.

“Sebagai penjawat awam, kita hendaklah sentiasa bersemangat dalam memberikan perkhidmatan terbaik. Saya sendiri selaku Ketua Menteri tidak pernah sekalipun berputus asa bercakap soal tanggungjawab dan amanah dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Namun, gambaran yang diberikan sesetengah pihak kepada pentadbiran di bawah saya seolah-olah tidak mencerminkan aspirasi yang diluahkan, sekali gus memberi kesan negatif kepada pentadbiran kerajaan negeri serta politik,” katanya dipetik berkata selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam negeri di Dewan Seri Negeri.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan agar semua penjawat awam di Melaka mengikis sifat membodek dalam menjalankan tugas dan mengharapkan pujian semata-mata.

Beliau berkata, amalan bekerja tanpa keihklasan perlu dibuang kerana ia akan mengundang situasi tidak baik dalam kalangan penjawat awam yang akhirnya menurunkan produktiviti.

“Kepada penjawat awam saya tegaskan, kerja itu biarlah dengan kejujuran dan keikhlasan. Kalau setakat bekerja hanya mahu mendapatkan tepukan di bahu atau pujian dari bos (ketua), saya rasa ia tidak kekal.

“Bekerjalah dengan seikhlas hati kerana kalau buat kerja dengan betul, bos pasti suka, jangan hanya mahu mendapatkan pujian tetapi dalam masa sama tidak mahu meningkatkan prestasi kerja,” ujarnya.

Idris turut meminta penjawat awam  agar tidak terlalu obses menggunakan media sosial untuk ‘menayang’ setiap tugas yang dilakukan.

“Kita tidak boleh hanya nak jadi popular, tetapi rakyat hidup tidak teratur. Membayar (upah) kumpulan media sosial semata-mata mahu memuji kita, itu tak boleh berlaku. Kita mesti menjadi kerajaan yang tegas dan berkesan, pada masa sama disukai rakyat kerana kerajaan yang populis ini adalah kosong, ibarat buah yang cantik dikulit tetapi isinya tidak boleh dimakan.

“Saya mahu menegaskan, pentadbiran awam di Melaka mestilah mempunyai ketegasan, di samping popular dengan kecekapan dan keberkesanan kerja, bukan hanya popular dengan omong kosong. Buatlah apa sekali pun, yang penting jadilah kerajaan yang mampu menyediakan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada rakyat,”tambahnya. – MalaysiaGazette