Sivarraajh Chandran

KUALA LUMPUR – Pemuda MIC Kebangsaan mengambil langah proaktif dengan menubuhkan sebuah badan petugas khas (task force) yang akan membantu menyelamatkan kuil yang berusia antara 80 hingga 100 tahun.

Ketuanya, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, pihaknya memandang serius masalah-masalah yang dihadapi oleh kuil-kuil serta rumah ibadat Hindu terutamanya berkaitan dengan isu tanah.

Jelasnya, kuil-kuil yang sudah lama bertapak sehingga ada yang menjangkau usia antara 80 hingga lebih 100 tahun yang terletak di atas tanah pemilik lain.

“Yang menjadi masalah adalah ketika empunya tanah itu mahu kembali tanah itu untuk tujuan pembangunan dan sebagainya, pengurusan kuil-kuil ini tidak tahu bagaimana untuk bertindak. Mereka tidak sedar nasib mereka sehingga tuan tanah itu mahu kembali tanahnya.

“Pemilik tanah juga tidak salah kerana mereka menggunakan proses undang-undang yang sah untuk mendapatkan kembali tanah mereka. Kuil-kuil seperti ini menjadi mangsa kolateral pembangunan dan menjadi ancaman perobohan tanpa jalan penyelesaian sesuai.

“Oleh yang demikian, kami Pemuda MIC telah menubuhkan sebuah badan khas untuk bukan sahaja memantau isu ini malah akan menggunakan biro perundangan kami untuk membantu pengurusan kuil seperti ini daripada masalah ini berlarutan serta kritikal,” katanya pada sidang media kepada di sini hari ini.

Menurut Sivarraajh, pihaknya berpendirian kuil-kuil Hindu yang mempunyai sejarah serta yang telah lama didirikan, selama puluhan tahun, tidak seharusnya dirobohkan dengan apa jua alasan sebaliknya wajar diselamatkan serta diberikan jaminan yang dipersetujui oleh semua mereka berkepentingan.

“Dengan wujudnya badan ini, kita juga sebenarnya akan berjaya mengumpul maklumat kuil-kuil ‘tulen’ yang telah lama wujud terutamanya di kawasan pedalaman dan membantu mereka daripada terus menghadapi masalah sehingga tahap kritikal merobohkan rumah ibadat.

“Ini bukan satu isu yang perlu di politikkan oleh semua pihak termasuk pembangkang, sebaliknya semua harus bersatu padu kerana isu berkaitan agama sebenarnya sangat sensitif dan tidak semua gemar dengan perobohan kuil sana sini,” tegasnya.

Tambah beliau, langkah proaktif ini juga tidak perlu disalah ertikan oleh segelintir pihak yang beranggapan badan ini akan membantu kuil mendapatkan peruntukan.

“Kami bukan mahu bantu anda dapat peruntukan dan sebagainya. Biro undang-undang kami akan bertindak menyiasat ketelusan sesebuah kuil sebelum membantu mereka mendapatkan penyelesaian ‘win-win’ supaya kuil itu tidak di robohkan, jangan ada pihak gunakan isu ini untuk menghentam kami kembali,” tegasnya.

Kuil-kuil Hindu biasanya dibina berpandukan hukum pembinaan yang dikenali sebagai ‘Hukum Agamik’ dan akan melalui pelbagai upacara keagamaan sebelum mula berfungsi sebagai kuil walaupun tidak dibina di atas tanah sendiri. – MalaysiaGazette