Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh (tengah)  menunjukkan sebahagian 86 ketul dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM 6.3 juta yang dirampas dalam serbuan di Pulau Pinang semalam ketika sidang akhbar di ibu pejabat polis Pulau Pinang hari ini.

PULAU PINANG – Polis negeri ini menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar tahun ini dengan merampas syabu seberat 90 kilogram (kg) bernilai RM6.3 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Kota Permai, Bukit Mertajam di sini Jumaat lalu.

Operasi bersepadu lebih 11 jam bermula pukul 4 petang itu dilakukan sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri yang menemukan dadah tersebut sebanyak 86 ketulan yang dimampatkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun di rumah sewa berkenaan.

Turut ditahan, kata beliau, seorang lelaki berusia 41 tahun di Pulau Tikus, Georgetown di sini yang dipercayai rakan kongsi suspek pertama.

“Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan salah seorang mempunyai rekod jenayah iaitu membabitkan kesalahan melarikan orang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohmad, dadah itu yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran boleh dijadikan bekalan kepada 400,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran gelap.

Tambahnya, susulan penahanan suspek berkenaan juga, pihaknya turut membekukan tiga akaun bank dengan nilai keseluruhan RM500,000 yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

Selain itu, tambahnya, dua buah kereta iaitu jenis Honda Accord dan Honda City serta wang tunai sebanyak RM3,150 turut disita dan dirampas daripada kedua-dua suspek.

“Kedua-dua suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- MalaysiaGazette