S. Subramaniam

PUTRAJAYA – Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) telah menyediakan dua billion unit saham amanah kepada masyarakat India untuk tempoh lima tahun akan datang bermula pada 29 Januari ini.

Presien MIC, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, inisiatif di ilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang komited untuk menaik taraf ekonomi masyarakat India di negara untuk jangka masa panjang.

Ia akan memanfaatkan kepada kira-kira 50,000 orang.

Menurut Subramaniam, Permodalan Nasional Bhd. (PNB) akan membuat pengagihan khas sejumlah 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) untuk masyarakat India, terhad kepada 30,000 unit setiap pelabur pada 29 Januari ini.

Manakala jelas beliau, bagi menyokong inisiatif ini juga, dana sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk satu skim pinjaman pelaburan khas yang akan ditawarkan kepada 100 ribu isi rumah daripada golongan B40 masyarakat India, terhad kepada 5,000 unit setiap peserta pada awal Februari depan.

“Pengagihan AS 1Malaysia  oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) iaitu anak syarikat milik penuh PNB akan dibuka pada 29 Januari sehingga semua unitnya habis dijual. Objektif utama adalah menggalakan masyarakt India untuk melabur bagi masa depan.

“Inisiatif di bawah Bajet 2018 ini menunjukan kerajaan kita sangat komited dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan masyarakat kita untuk tempoh panjang. AS 1 Malaysia dilancarkan pada 2009 yang mana dana ini bertujuan untuk mendapatkan pelaburan untuk menjana pendapatan konsisten dan berterusan.

“Ini juga akan mengekalkan modal pelaburan pemegang unit dalam tempoh jangka panjang melalui portfolio pelaburan yang telah dipelbagaikan, dengan tambahan 1.5 bilion unit untuk komuniti India, ianya akan meningkatkan lagi ekuiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media berhubung pelancaran tersebut yang turut dihadiri oleh Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd, Tan Sri Wahid Omar dan Ketua Pengarah  Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC), Prof Datuk Dr N.S. Rajendran.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata, pelabur boleh melanggan unit tambahan AS 1Malaysia dengan mengunjungi cawangan ASNB terdekat atau ejennya termasuk Maybank, CIMB, RHB, POS Malaysia Bhd, Affin Bank, Alliance Bank, AmBank dan Bank Muamalat.

“Bagi pemilik akaun AS 1Malaysia sedia ada dan berdaftar dengan portal myASNB, boleh meningkatkan pelaburan menerusi platform dalam talian www.myasnb.com.my.

“Bagi memastikan pengagihan yang adil dan bertanggungjawab dalam penyertaan ekuiti masyarakat India, terutama di kalangan keluarga B40, kerajaan memperuntukkan pembiayaan khas RM500 juta bagi tempoh lima tahun dalam bentuk skim pinjaman tanpa faedah,” ujarnya.

Isi rumah B40 masyarakat India yang layak akan diberi pinjaman tanpa faedah sebanyak RM5,000 bagi setiap isi rumah yang akan dilaburkan di AS 1Malaysia.

Ia dijangka akan menambah simpanan 100,000 isi rumah dari golongan B40 masyarakat India khususnya yang berada di bawah garis kemiskinan yang akan dilancarkan Najib pada 29 Januari ini.- MalaysiaGazette