Quek Cham Hong dan Fairuz Radi

KUALA LUMPUR – Sime Darby Property Berhad mengumumkan dua pelantikan bagi mengukuhkan kedudukan syarikat tersebut sebagai pemaju hartanah terkemuka di Malaysia.

Kedua-dua yang dilantik ialah Quek Cham Hong sebagai Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Bersepadu mulai 16 Januari lalu dan Mohd Fairuz Mohd Radi sebagai Ketua Pegawai Transformasi dan Ketua Pengarah Urusan Kumpulan berkuatkuasa bulan lalu.

Quek mempunyai pengetahuan luas dalam industri hartanah dengan pengalaman lebih daripada 30 tahun.

Quek akan mengetuai projek-projek pembangunan bersepadu dan niche milik Sime Darby Property di Alya Kuala Lumpur, KL East, Pusat Bandar Subang Jaya (SJCC), Putra Heights dan Ara Damansara serta pengurusan projek bersepadu melalui
syarikat usaha sama.

Manakala Fairuz Radi akan mengetuai Pejabat Transformasi, Jabatan Strategi dan Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan di Sime Darby Property dan bertanggungjawab terhadap pengukuhan strategi korporat dan perniagaan syarikat dan melaksanakan inisiatif transformasi termasuk memacu pelan tindakan strategik dan taktikal.

Fairuz adalah sebahagian daripada pasukan perintis Transformasi Leap30 Maybank pada akhir tahun 2008 dan pernah memegang jawatan Ketua Strategi Maybank Perbankan Borong (Perbankan Korporat dan Pelaburan) dan Perkhidmatan Kewangan Komuniti. – MalaysiaGazette