Liow Tiong Lai diiringi Pengerusi Eksekutif Kawasaki Malaysia Sdn. Bhd., Ahmad Faez Yahya (kanan) membantu salah seorang penunggang motosikal memakai topi keledar dengan betul pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2017 di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 06 JANUARI 2017

KUALA LUMPUR – Kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan terus meningkat walaupun pelbagai inisiatif dan langkah-langkah berterusan diambil oleh kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pada tahun lalu angka kematian akibat kemalangan meningkat dengan lebih 6,000 kematian dan berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

“Daripada statistik yang diterima oleh kita, sejak 10 tahun kebelakangan ini, antara 2007 sehingga 2016, jumlah kemalangan jalanraya di Malaysia adalah sebanyak 73,954 yang mana 40,609 atau 63 peratus melibatkan pengguna motor.

“Jumlah ini juga antara yang tertinggi dan laporan mendedahkan hampir 80 peratus daripada kemalangan berpunca daripada kecuaian atau kesalahan manusia itu sendiri. Ekoran itu, pelbagai inisiatif dan kempen dijalankan pelbagai pihak dan agensi bagi mengurangkan kadar kemalangan setiap masa,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2018.

Kempen Keselamatan Jalan Raya 2018 yang bertema ‘Fikir Keselamatan, Tunggang dengan Bertanggungjawab’ itu diadakan buat kali ketiga sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina pada bulan Februari ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Penjual Motorsikal & Skuter Malaysia (MMSDA).

Tambah Tiong Lai, walaupun negara ini dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur dan kemudahan yang sepatutnya memberikan faedah serta keselesaan kepada pengguna jalan raya namun kadar kemalangan masih berada pada tahap membimbangkan.

“Tetapi dengan pelaksanaan Automated Awareness Safety System (AwAS) pada 2017, ianya dapat membantu kerajaan merealisasikan harapan untuk melihat penurunan kadar kemalangan serta kematian di jalan raya.

“Dengan gabungan penggunaan teknologi kamera dan potongan mata demerit, AwAS dijangka mampu menampakkan hasil berkesan bagi mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan melalui penguatkuasaan yang efisyen dan efektif,” katanya.

Sementara itu Pengurus Besar Kawasaki Motors Malaysia, Datuk Jeffrey Lim Chee Sing, berkata, penganjuran acara penting itu adalah inisiatif untuk mendekati pengguna jalan raya supaya mementingkan keselamatan.

Katanya, antara aktiviti yang dianjurkan pada acara sehari itu ialah pemeriksaan keselamatan 16 mata komponen motosikal dan penggantian topi keledar serta baju pantul cahaya kepada pengunjung yang hadir.

Kempen ini turut mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan dan swasta seperti Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, PLUS, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS). – MalaysiaGazette