Datuk Seri Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – MCA sama sekali tidak akan gentar untuk berdepan dengan mana-mana pencabarnya terutamanya dari DAP sebaliknya yakin menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14.

DAP seringkali menggunakan isu perkauman serta menanam sentimen kebencian terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga rata-rata masyarakat Cina di negara ini terpedaya dengan muslihat mereka hampir 10 tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, menurut Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, kali ini persepsi masyarakat Cina sudah berubah kerana kerajaan BN terutamanya MCA telah menunjukkan rekod cemerlang dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dalam semua aspek.

“Jangankan calon Pakatan Harapan, DAP pun kami tidak takut dan gentar. Sesiapun boleh bertanding di mana-mana termasuk kawasan yang juga ditandingi oleh MCA sendiri. Ini adalah sebuah negara demokrasi yang membolehkan rakyatnya mengundi setiap 5 tahun untuk mengundi kerajaan yang mereka mahu.

“Kita di MCA bukan sahaja mempunyai rekod cemerlang dalam melaksanakan semua inisiatif serta projek yang mendahulukan rakyat. Kita juga masih terus berusaha untuk memenangi kepercayaan rakyat.

“Saya yakin rakyat kini sudah semakin celik dengan tipu muslihat pembangkang yang banyak ‘berbunyi’ berbanding menunaikan segala macam janji terutamanya yang ditaburkan ketika menjelangnya PRU. Kita di MCA sudah bersedia untuk hadapi mana-mana pencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Sg Besi, di sini hari ini.

Tiong Lai yang juga merupakan Menteri Pengangkutan berkata, MCA juga akan bertanding di semua kawasan pada PRU termasuk Parlimen Gelang Patah yang sebelum ditandingi oleh UMNO.

Katanya, MCA sudah menyusun strategi untuk memenangi semula kerusi Parlimen Gelang Patah yang ketika ini diwakili oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Kami sudah menggerakkan tindak kerja sehingga ke akar umbi kerana yakin BN berpeluang untuk memenangi semula kerusi berkenaan apatah lagi Kit Siang tidak memberikan perkhidmatan sebagai wakil rakyat selain selalu tidak ada dalam kawasan itu,” ujar beliau.

DAP menang di Gelang Patah pada PRU lalu apabila menewaskan calon Umno, iaitu bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata, kempen digelar ‘100 Hari Menjelang PRU14’ dengan siri ceramah bermula di Gelang Patah, Johor mahu menggempur kubu MCA sekaligus dalam misi menumbangkan parti komponen kedua terbesar BN. – MalaysiaGazette