KUALA LUMPUR – Pembangkang seperti ‘menjilat ludah’ sendiri apabila terang-terangan mengakui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir tidak banyak menabur jasa kepada masyarakat India ketika 22 tahun memegang tampuk pemerintahan.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen DAP, Charles Santiago dalam satu laporan media mengakui Dr Mahathir sepatutnya telah melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi pembangunan masyarakat India semasa kepimpinannya.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Tan Sri Kenneth Eswaran memuji ‘kejujuran’ yang dipamerkan oleh Charles Santiago kerana bercakap benar dan sedar Dr Mahathir telah banyak mengabaikan pembangunan masyarakat India.

Kata beliau, walaupun pembangkang sudah menerima Dr Mahathir sebagai bakal Perdana Menteri sekiranya berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, namun hakikatnya mereka juga tahu siapakah sebenarnya yang telah dan sedang berjuang untuk masyarakat India selama ini.

“Saya harus puji kenyataan Charles Santiago sepatutnya Dr Mahathir sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi pembangunan masyarakat India di negara ini. Nampaknya pembangkang mengaku beliau telah gagal menaik taraf kehidupan kaum India ketika mentadbir negara walaupun mempunyai kuasa mutlak untuk berbuat demikian.

“Kini dengan begitu ‘retorik’, kumpulan pembangkang yang sama melaungkan apakah jenis sumbangan yang bakal dilaksanakan oleh Dr Mahathir seandainya berkuasa kelak. Rakyat bukan kurang cerdik untuk berterusan mempercayai muslihat sebegini.

“Seandainya ketika mempunyai kuasa satu masa dahulu tetapi tidak mempergunakannnya dengan betul, mampukah kita percaya dengan ‘janji manis’ yang sedang ditaburkan selepas kita mengundi kelak? Selama 22 tahun berkuasa, beliau tidak melakukan apa yang seharusnya dilakukan sebaliknya banyak mengabaikan kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenneth berkata, beliau yakin apa yang diperkatakan ketika ini terutamanya janji untuk masa depan yang lebih baik untuk masyarakat India sebenarnya sekadar gimik politik bagi kemenangan mutlak kelak.

Dalam pada itu, Kenneth turut memuji hasrat serta inisiatif yang sedang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tampil lebih prihatin dengan nasib masyarakat India di negara ini.

Jelasnya, Najib telah menitikberatkan keperluan serta melaksanakan pelbagai dasar yang menguntungkan masyarakat itu khasnya dengan Pelancaran Rangka Tindakan India Malaysia (MIB) yang memperuntukan berbilion ringgit.

“Perdana Menteri telah melipatgandakan usaha untuk meningkatkan strata sosioekonomi masyarakat India melalui pelbagai inisiatif. Antaranya adalah pembentukan Sekretariat Khas untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED) di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membantu usahawan India mendapatkan pembiayaan dan untuk menyediakan khidmat nasihat lain yang berkaitan.

“Sejak penubuhannya, sejumlah RM1.3 bilion dana telah dikeluarkan dengan penciptaan 31,201 usahawan dari tahun 2012 hingga 2017 melalui TEKUN Nasional.

“Selain itu, Unit Khas untuk Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) yang dibentuk pada 2014 dan geran bernilai RM230 juta dikeluarkan, lebih 800 NGO yang dibiayai dan kira-kira 500,000 orang telah mendapat manfaat sejak penubuhannya. Saya boleh contoh berjela-jela kepada anda,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM900 juta sejak 2009 untuk menyusun semula, memindahkan dan mengubahsuai sekolah-sekolah Kebangsaan Tamil serta membina sekolah-sekolah baru.

“Tun Samy Vellu sendiri pernah mengakui semasa kepimpinan Tun Mahathir, beliau begitu sukar untuk mendapatkan peruntukan untuk sekolah Tamil. Kini semuanya berubah, komuniti kita banyak mendapat manfaat kerana Najib banyak mendengar keluh kesah kita,” tegasnya. – MalaysiaGazette