KUALA LUMPUR –Malaysia Aviation Group melantik Ahmad Luqman Mohd. Azmi sebagai Ketua Pegawai Operasi, Malaysia Airlines Bhd. (MAB) yang baharu berkuatkuasa 1 Februari 2018.

Jawatan tersebut kosong selepas Kapten Izham Ismail dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB.

“Ahmad Luqman adalah bakat tempatan yang memulakan kerjaya dengan Malaysia Airlines sebagai pelatih pengurusan.

Selepas 20 tahun berkhidmat dengan syarikat, beliau memiliki pengetahuan yang luas dan berpengalaman untuk memimpin bahagian Operasi dan Kejuruteraan,” kata Izham dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Luqman yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif MAB Kargo sejak September 2015 adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Angkasa daripada Universiti Syracuse, Amerika Syarikat.

Beliau sebelum ini bertanggung jawab mencipta formula strategik bagi pembangunan perniagaan kargo dan di bawah pengurusannya, MAB Kargo berjaya mencatatkan pertumbuhan sebanyak 18 peratus jumlah perniagaan menerusi penjajaran semula rangkaian pengangkut serta kerjasama-kerjasama strategik yang telah dijalankan.

Ahmad Luqman juga merupakan individu penting di dalam mentransformasi MAB Kargo bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju syarikat kargo di Malaysia termasuklah melaksanakan transformasi digital untuk menyokong pertumbuhan perniagaan e-perdagangan di rantau ini.

Sepanjang perkhidmatannya di MAB Kargo, Ahmad Luqman telah berada di pelbagai jawatan termasuklah di bahagian operasi terminal kargo, operasi sistem dan jualan.-MalaysiaGazette