Pep Guardiola membidas pengadil bola sepak Lee Mason kerana tidak melindungi pemainnya yang diterjah keras oleh pemain Cardiff City semasa aksi Piala FA malam tadi.

MANCHESTER – Pep Guardiola mengamuk dan mengecam pengadil kerana didakwa gagal melindungi pemainnya dalam saingan Piala FA England malam tadi.

Rungutan Pengurus Manchester City itu hadir selepas bintang sayap kirinya, Leroy Sane diterjah keras oleh pemain Cardiff City, Joe Bennett.

Guardiola mendakwa pengadil perlawanan, Lee Mason tidak melindungi pemainnya apabila sekadar melayang kad kuning terhadap pemain pasukan lawan atas terjahan keras itu.

Pengurus warga Sepanyol itu bimbang senarai kecederaan pemainnya yang semakin melambung di Etihad akan mengganggu pemburuan empat kejuaraan terutama sekali menjelang aksi final Piala FA dan Piala Carabao.

“Saya sudah banyak kali mengingatkan bahawa satu-satunya tindakan yang perlu dilakukan pengadil adalah melindungi pemain namun ia tidak berlaku.

“Saya risau pemain saya dilanda kecederaan serius. Tolonglah lindungi pemain bola sepak kerana mereka adalah artis bola tidak boleh dibiarkan dibuli atas padang.

“Sane tidak akan beraksi untuk tempoh panjang, mungkin mengambil masa berminggu untuk pulih daripada kecederaan malam tadi, status kecederaan hanya akan diketahui esok,” tegasnya lagi.

Dalam perlawanan itu, gol Kevin De Bruyne dan Raheem Sterling mengesahkan kemenangan City dalam saingan Piala FA.- MalaysiaGazette