Home Nasional Wanita bersubahat dengan suami cabul dua budak

Wanita bersubahat dengan suami cabul dua budak

Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang penjaga pusat kebajikan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung dakwaan mencabul dua budak perempuan, dua tahun lepas.

Khairulbariah Mian, 29, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A. Raof.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, wanita itu didakwa bersubahat dengan rakan sejenayah iaitu suaminya, Zahari Alwi, 56, dengan menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua budak perempuan berusia 10 dan 11 tahun dengan maksud mencabul kehormatan mereka.

Wanita itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di ruang tamu di dua pusat kebajikan di Keramat di sini antara Disember 2015 dan pada 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 354 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Illynadiah Mohd Yusof, memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan penjamin yang hadir adalah bapanya yang merupakan seorang pesara.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa.

Majistret Haslinda menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, suami tertuduh kini ditahan reman berhubung kejadian itu dan akan didakwa tidak lama lagi.

Sabtu lepas, akhbar melaporkan seorang budak perempuan yang berusia 12 tahun membongkar perbuatan pemilik pusat kebajikan itu selepas membuat laporan polis mendakwa dirinya dirogol dan dicabul.

Budak perempuan itu juga mendakwa bahawa perbuatan itu diketahui seorang penjaga wanita pusat kebajikan berkenaan namun dia seolah-olah tidak ambil peduli. – MalaysiaGazette