Home Dunia 2 pegawai hantar salah amaran letak jawatan

2 pegawai hantar salah amaran letak jawatan

Amaran yang menimbulkan panik di Hawaii pada 13 Januari lalu. foto Agensi

HAWAII – Dua pegawai tinggi Agensi Pengurusan Kecemasan Hawaii telah meletak jawatan susulan penghantaran isyarat peluru berpandu palsu pada 13 Januari lalu.

Mesej yang didakwa tersalah tekan itu telah mengakibatkan panik di seluruh negeri terbabit apabila apabila pihak berkuasa mengambil masa 38 minit untuk membetulkannya.

Pentadbir, Vern Miyagi dan pegawai eksekutif, Toby Clairmont melepaskan jawatan masing-masing pada hari Selasa selepas laporan terperinci mengenai kejadian itu didedahkan.

Malah, individu yang menghantar amaran itu turut dipecat.

“Gabungan kesilapan manusia dan jaminan keselamatan yang tidak mencukupi menyumbang kepada amaran palsu ini,” kata Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) dalam laporan awal mengenai insiden yang dikeluarkan pada hari Selasa.

Laporan itu berkata, kesilapan itu berlaku selepas penyelia tengah malam di Agensi Pengurusan Kecemasan Hawaii memutuskan untuk melakukan latihan spontan semasa peralihan tugas.

Penyelia hari yang masuk kemudian dikatakan tidak menyedari tentang latihan pada pukul 8.05 pagi akan melibatkan mana-mana pegawai yang masuk bekerja dan kemudiannya tidak diberitahu tentang latihan itu.

Mesej latihan, yang kononnya dari Komando Pasifik Amerika Syarikat, bermula dan berakhir dengan kata-kata: “Latihan! Latihan! Latihan!”.

Tetapi amaran itu juga memaklumkan, “Ini bukanlah latihan”, dalam skrip yang FCC mengatakan ia berbeza daripada prosedur yang ditetapkan.

Gabenor Hawaii David Ige mengakui dia tidak dapat membetulkan amaran itu kerana terlupa kata laluan Twitternya.

Menurut laporan persekutuan, pekerja itu adalah salah satu dari tiga orang yang menerima panggilan itu tetapi tidak mendengar amaran latihan tersebut. Percaya bahawa ia adalah benar, mereka menghantar amaran yang sebenar menggunakan perisian agensi itu. – MalaysiaGazette