Gambar hiasan

BILA sebut Klang, ia sinonim dengan gelaran Klang Bandar Diraja. Kalau di Selangor, Klang satu-satunya bandar yang kaya dengan pelbagai jenis khazanah dan jejak warisan diraja.

Di daerah itu ada Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz. Di sini juga terletaknya sebuah istana rasmi Sultan Selangor yang dinamakan Istana Alam Shah.

Di tengah-tengah bandar  juga ada sebuah taman, iaitu Taman Bandar Diraja.

Di Klang  juga adanya sebuah gedung yang dikenali Gedung Raja Abdullah atau Muzium Timah. Raja Abdullah Ibni Almarhum Raja Jaafar memerintah Selangor pada tahun 1854, kira-kira 164 tahun lalu.

Jambatan Kota yang merentasi Sungai Klang juga mempunyai perkaitan rapat dengan Sultan Selangor. Jambatan itu dibina pada tahun 1957 dirasmikan oleh Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah sempena pertabalan almarhum baginda sebagai Sultan Selangor kesembilan pada 24 Jun 1959.

Pendek kata, amat sesuai dan bertepatanlah bandar Klang digelar Bandar Diraja.

Ia mempunyai kaitan rapat dengan susur galur kesultanan Selangor sejak hampir 200 tahun lalu.

Namun, seperti ada sesuatu yang agak janggal dan tidak kena dengan struktur atau landskap perbandaran Klang Bandar Diraja ini.

Keadaan persekitarannya seperti tidak terurus, permukaan rangkaian jalan rayanya pula sangat menyakitkan mata memandang.

Keluar sahaja di Lebuh Raya Persekutuan dan Lebuh Raya Klang–Shah Alam (Kesas), kita akan memandu masuk ke Klang melalui jalan yang tidak sistematik.

Permukaannya berlubang-lubang, berlopak, pecah sana sini dan tidak rata.

Nak dikatakan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak cukup kakitangan untuk memantau keadaan permukaan jalan raya ini, tidak logik. Ahli-Ahli Majlis Tempatan lantikan politik pun ramai dan tinggal di setiap ceruk di daerah Klang.

Mustahil mereka tidak ada mata untuk melihat keadaan itu dan mustahil mereka tidak ada otak untuk menyelami masalah yang dihadapi orang ramai, lebih mustahil mereka tidak ada mulut untuk membawa kes ini ke pihak atasan untuk diambil tindakan. Amat mustahil.

Tengok sahaja keadaan jalan dari Alam Impian, Shah Alam ke Kampung Jawa, Klang – jalan sepanjang Jalan Kebun ke Jalan Kota Raja menuju ke Istana Alam Shah dan Galeri Diraja; dari susur Kesas ke Jalan Sungai Jati dan Jalan Tun Abdul Razak ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Permukaannya tidak ubah seperti jalan masuk ke perkampungan Orang Asli di Hulu Pahang dan Hulu Kelantan.

Padahal Klang ini Bandar Diraja. Bandar yang menjadi perhatian dan tumpuan pelancong asing dan pelancong tempatan. Tapi macam mana PBT boleh biarkan keadaannya menjadi semakin teruk?

Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab menjaga dan mengurus perbandaran  seharusnya peka dengan keadaan itu.

Mereka boleh memohon peruntukan dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor untuk menyelenggara jalan-jalan yang rosak ini. Jangan bimbang pasal peruntukan. Kerajaan negeri ada dana berjumlah ratusan juta ringgit yang disalurkan Kerajaan Persekutuan melalui Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Tahun 2012 Kerajaan Persekutuan salurkan kepada kerajaan negeri Selangor sebanyak RM416,971,395 juta; tahun 2013 pula sebanyak RM498,033,994 juta; ditambah lagi sebanyak RM523,486,773 juta untuk tahun 2015 dan tahun lepas saja diperuntukan sejumlah RM546,591,098 juta.

Peruntukan begitu banyak, yang berangka ratusan juta ringgit ini diberikan Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri Selangor setiap tahun adalah untuk tujuan pembaikian jalan-jalan yang saya nyatakan itu. Ini tidak termasuk rangkaian jalan-jalan lain di seluruh Klang, Bandar Diraja.

Amat memalukan perkara sekecil ini gagal diuruskan oleh PBT. Ada Ahli Majlis pun seperti tidak ada. Tidak buat kerja. Barangkali seronok kerja makan gaji buta, sehinggakan masalah rakyat tidak diambil pedulikan.

Cubalah setiap minggu turun ke jalan raya. Bawa ahli keluarga jalan-jalan sambil pandu kereta atau tunggang motosikal. Lalulah di jalan-jalan yang saya sebutkan itu. Rasailah apa yang rakyat rasai saban hari.

Jangan pula setiap bulan bawa ahli keluarga makan angin di luar negara. Sampai kiamat pun anda tidak akan merasai apa yang rakyat rasai. Betapa azab dan sengsaranya menggunakan jalan raya yang pecah, berlubang dan tidak rata.

Sepatutnya, PBT mengurus bandar Klang dengan lebih cermat dan cakna lagi sesuai gelaran Klang Bandar Diraja. Jaga dan urus landskapnya supaya lebih menarik dan indah. Pastikan setiap jalan raya berada dalam keadaan elok dan rata. Barulah menjadi tumpuan pelancong. – MalaysiaGazette