Nurul Izzah Anwar

PETALING JAYA – Walaupun Nurul Izzah Anwar sudah berulang kali menyatakan harapannya untuk mempertahankan Lembah Pantai di ibu negara, sumber pembangkang bagaimapun hampir pasti bahawa naib presiden PKR itu akan bertanding di kawasan lain.

Selari dengan keazaman DAP untuk menguasai Johor, Nurul Izzah juga besar kemungkinan akan bertanding di negeri selatan Semenanjung itu khususnya di Johor Bahru atau Pasir Gudang.

Sinchew Daily melaporkan, strategi Pakatan Harapan ialah membentuk barisan “orang kuat” di Johor yang terdiri daripada Lim Kit Siang (DAP), Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM) dan Nurul Izzah (PKR).

Sumber berpendapat bahawa persempadanan semula Lembah Pantai juga “pasti akan membunuh karier politik” Nurul Izzah jika beliau mahu terus bertanding di kerusi Parlimen itu.

Persempadanan semula dilaporkan akan menyebabkan Nurul Izzah kehilangan peyokong tegar sekali gus mendedahkannya kepada risiko kekalahan.

Keadaan itu juga menyebabkan khabar angin bertiup bahawa Nurul Izzah akan dipindahkan ke kawasan selamat lain khususnya Permatang Pauh di Pulau Pinang yang sudah sinonim dengan ayah dan ibunya.

Namun perkembangan terkini menunjukkan Nurul Izzah berkemungkinan bertanding sama ada di Johor atau di kerusi Parlimen Pandan, Selangor bagi menggantikan Rafizi Ramli yang dibelenggu kes mahkamah.

Difahamkan masing-masing PKR dan Rafizi tidak optimis dengan kes-kes mahkamah yang sedang membelenggu penyandang kerusi Parlimen Pandan itu.

Di Johor pula, tiga kerusi yang berkemungkinan ditandingi Nurul ialah Johor Bahru, Pasir Gudang dan Tebrau. Walau bagaimanapun, PKR juga dilaporkan sudah mempunyai calon untuk Tebrau. Masing-masing kerusi Parlimen Johor Bahru dan Pasir Gudang adalah kubu kuat Barisan Nasional yang amat sukar ditembusi Nurul Izzah.

Di Johor Bahru umpamanya, Nurul Izzah akan bertembung dengan Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang juga amat terkenal dalam kalangan masyarakat Cina, malahan dilihat sebagai pemimpin yang mempunyai hubungan baik dengan komuniti kaum itu. – MalaysiaGazette