KAHERAH – Ahli arkeologi Mesir menemui kubur seorang wanita dikenali ‘Hetpet’ yang hidup pada era Kerajaan Lama yang mana beliau adalah pegawai atasan istana pada akhir Dinasti Kelima, menurut pihak berkuasa negara itu.

Kubur tersebut ditemui semasa kerja-kerja penggalian dilakukan di luar kawasan perkuburan Giza barat. Kubur-kubur tersebut menempatkan para pegawai atasan Kerajaan Lama itu ditemui ahli arkeologi sejak 1842, kata Setiausaha Agung Majlis Agung Antikuiti, Mostafa Wazir dalam satu majlis.

Kerajaan Lama berada pada abad ketiga (2686 hingga 2181 Sebelum Masihi) dan era tersebut yang turut dikenali ‘Zaman Piramid’.

Penemuan kubur ‘Hetpet’ itu turut memaparkan stail senibina dan elemen dekorasi Dinasti Kelima dengan pintu masuk menuju ke kuil berbetuk L yang dilengkapi dengan bekas air untuk tujuan penyucian diri, katanya seperti dilaporkan agensi Xinhua.

Di penghujung kawasan barat, Wazir berkata, terdapat sebaris arked berbentuk segi empat tepat yang dilengkapi tempat kemenyan dan tempat meletak pemberian sembahan.

“Terdapat juga kuil kecil dengan patung pemilik kubur yang telah hilang,” tambah beliau.

Kubur tersebut mempunyai lukisan yang masih elok yang memaparkan ‘Hetpet’ berdiri ketika berburu dan memancing selain duduk di hadapan sebuah meja besar untuk menerima barangan sembahan daripada anak-anaknya.

Gambar buah yang dipetik, logam yang dicairkan dan pembuatan bot daripada kulit dan tumbuhan air, papirus, selain persembahan muzikal dan tarian juga dipaparkan di dinding.

Antara lukisan yang terserlah di kubur itu memaparkan dua ekor monyet dalam dua keadaan berbeza, kata pegawai tersebut.

Sebagai tamadun paling kuno, Mesir bekerja keras untuk memulihara warisan arkeologinya.

Dalam usaha menghidupkan kembali sektor pelancongannya, Mesir membongkar rahsia-rahsia arkeologi Fraun dan tamadun kuno di seluruh negara itu. – Agensi