KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diminta berfikir secara waras dan menghentikan sikap suka berdusta khususnya berhubung isu pembinaan terowong dasar laut di negeri itu.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perilaku ditunjukkan Setiausaha Agung DAP itu sama sekali tidak mencerminkan kewibawaan sebagai seorang ketua pentadbir negeri apabila sering berdolak-dalik memberi kenyataan semata-mata untuk menutup pekung di dada.
Menurut beliau, Guan Eng enggan mengakui kesilapan dan menjelaskan perkara sebenar tetapi memilih untuk melemparkan tuduhan palsu sekali gus mencerminkan keperibadiannya yang lebih gemar memutar-belitkan fakta.
“Beliau mendakwa saya menuduh Zenith Construction Sdn. Bhd. terbabit dalam kegiatan melobi tender melalui cara yang tidak sah kerana mendakwa syarikat berkenaan memperoleh projek ditawarkan menerusi tender terbuka.
“Beliau perlu menjelaskan dengan terperinci apabila mendakwa saya mengeluarkan kenyataan seumpama itu. Soalan saya cukup mudah, mengapakan Zenith Construction yang ditubuhkan pada 27 Ogos 2011 dijemput menghadiri sesi pra kelayakan permohonan (RFP) pada 14 November pada tahun yang sama,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Mengulas lanjut, Ka Siong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Zenith menubuhkan konsortium pada 6 Julai 2012 sehari sebelum kerajaan Pulau Pinang menghantar jemputan untuk syarikat berkenaan mengambil bahagian pada sesi RFP itu.
Perkara itu jelas beliau, ternyata menimbulkan rasa tidak puas hati kepada Guan Eng yang kemudian menuduhnya mengeluarkan kenyataan yang tidak benar.
“Guan Eng terus mendakwa saya membuat tuduhan palsu ke atas Zenith sedangkan persoalan asal sama sekali berbeza. Jika beliau merasakan bahawa dua fasa RFP itu adalah cara yang sah, sila berikan segala butiran terperinci dan juga minit mesyuarat sepanjang sesi RFP itu berlangsung,” katanya.
Ka Siong menambah, putar belit Guan Eng semakin menjadi-jadi apabila terus memberikan kenyataan demi kenyataan yang saling bercanggah.
Tindakan itu jelas Ka Siong sudah cukup membuktikan pemimpin DAP yang kononnya ‘bersih’ dan berjiwa rakyat itu sebenarnya hanya ‘berselindung disebalik sehelai lalang’.
“Beliau cuba untuk menutup bangkai gajah dengan nyiru, sedangkan hakikatnya tembelang itu sudah lama pecah. Rakyat dan pengundi mereka harus sedar akan perkara ini. Berhenti memperbodohkan diri daripada terus menyokong pemimpin yang cuma mementingkan poket sendiri,” tegasnya.
Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam mendedahkan, syarikat pembinaan China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC) yang terbabit dengan projek terowong dasar laut itu disahkan bukan pemegang saham seperti didakwa Guang Eng.
Tiong Lai berkata, pihaknya diberitahu CRCC, mereka tidak pernah dan bukan pemegang sebarang ekuiti dalam syarikat khas seperti dakwaan Guan Eng sebelum ini.
Dalam lidah rasmi kerajaan DAP, Buletin Mutiara telah dinyatakan CRCC dan Beijing Urban Constructions Group (BUCG) menyertai SPV dengan nilai hampir RM6.43 bilion pada tahun 2013.
Laporan itu menyatakan, CRCC bersama Zenith Contructions Sdn. Bhd. membentuk gabungan pemegang saham terbesar sebanyak 70 peratus dengan modal berbayar berjumlah RM4 bilion dan RM3.5 juta.
Dalam pada itu, baru-baru ini Guan Eng mengakui kerajaan DAP Pulau Pinang ‘was-was’ sama ada projek terowong dasar laut akan diteruskan seperti dirancang kerana kononnya disabotaj oleh Barisan Nasional.
Projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang dirancang kerajaan DAP Pulau Pinang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas dikaitkan dengan pelbagai kontroversi khususnya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan projek tersebut.- MalaysiaGazette