Home Nasional Hati-hati penipuan guna Pos Malaysia

Hati-hati penipuan guna Pos Malaysia

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad tidak pernah melakukan mana-mana kaji selidik atas talian yang menawarkan telefon pintar kepada responden bertuah.

Malah, Pos Malaysia tidak pernah melantik perkhidmatan pihak ketiga dalam penganjuran aktiviti kerana semua hebahan mengenai syarikat itu dibuat melalui saluran rasmi termasuk media sosialnya.

Sehubungan itu, Pos Malaysia berkata, kaji selidik yang dijalankan oleh pihak-pihak tertentu adalah satu penipuan.

Modus operandinya adalah dengan menyatakan responden adalah salah satu daripada 10 yang terpilih dan diminta menjawab empat soalan mengenai perkhidmatan Pos Malaysia serta meminta mereka memberitahu butiran peribadi.

“Kami percaya pihak-pihak terlibat cuba menipu responden dengan menggunakan jenama Pos Malaysia tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pelanggan dinasihatkan tidak memberi maklum balas terhadap kajian yang dijalankan. Sebarang pertanyaan, pelanggan boleh membuat laporan terhadap mana-mana penipuan menggunakan jenama Pos Malaysia melalui talian hotline 1300-300-300 atau emel [email protected]. – MalaysiaGazette