Amir Hamzah Abd. Aziz

KUALA LUMPUR – Seorang suami kepada artis 1990-an yang juga bergelar ‘Datuk Seri’ didakwa menipu seorang mangsa wanita melibatkan kerugian kira-kira RM2.4 juta di Melaka.

Mangsa, seorang ibu kepada empat anak dilantik sebagai pengarah pemasaran bagi syarikat skim pelaburan dan didakwa
memperdaya seramai 153 orang pendeposit malah ada dalam kalangan mereka melabur sehingga mencecah RM100,000 demi mendapatkan keuntungan berganda.

Memetik laporan sebuah akhbar, Nurul Hazwani Shuib, 31, diperdaya dengan janji manis kononnya akan memperoleh keuntungan sehingga 35 peratus daripada pelaburan dijalankan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

“Apa yang saya dan semua pelabur harapkan agar Datuk Seri terbabit dibawa ke muka penga­dilan dan mendapat hukuman setimpal,” beliau dipetik berkata.

Skim berkenaan didakwa sebahagian pelabur diberikan cek ‘tendang’ dan tidak mendapat keuntungan seperti dijanjikan.

Nurul Hazwani terpaksa me­ngadu masalah dihadapimya di pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Ne­geri Melaka.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya telah menyediakan khidmat guaman bagi membuat tuntutan sivil untuk menuntut jumlah wang yang sudah dilaburkan.

“Kepada masyarakat di luar, kami menasihati supaya tidak mudah terpedaya dengan skim penipuan sebegini sehingga membawa kerugian yang besar,” katanya. – MalaysiaGazette