SEREMBAN – Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai hari ini mengesahkan menerima laporan kes seorang murid sekolah di Lenggeng, dekat sini yang melecur pada bibir selepas dipercayai dipaksa minum air panas oleh ibu tirinya.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan pada Sabtu lalu daripada IPD Dang Wangi dan kes masih dalam siasatan awal.

“Kita akan minta laporan perubatan daripada Hospital Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes.

“Dakwaan ibu mangsa yang mengatakan tiada tindakan susulan dibuat kerana pegawai penyiasat di IPD Nilai menganggap perkara ini adalah masalah rumah tangga berdasarkan laporan-laporan yang pernah dibuat sebelum ini, adalah tidak benar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata setiap kes yang dilaporkan kepada pihaknya akan disiasat seadilnya.

Media hari ini melaporkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun menderita akibat melecur pada bibir selepas dipercayai dipaksa minum air panas yang masih menggelegak oleh ibu tirinya.

Kejadian berlaku Isnin lalu iaitu sehari selepas ibu kandungnya menghantar mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik pulang ke rumah bekas suaminya di Lenggeng, dekat sini. -BERNAMA