Kementerian Pendidikan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan hari ini mewujudkan Jawatankuasa Khas Siasatan Dalaman bagi mencari punca kematian seorang murid akibat terkena bilah pisau pemotong rumput hari ini.

Menurut kenyataan kementerian itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan diarah menubuhkan jawatankuasa tersebut dengan  segera bagi membolehkan siasatan menyeluruh berhubung kejadian itu dilakukan.

“Kejadian kemalangan melibatkan murid Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, Gemas berlaku semasa  sekolah mengadakan raptai perbarisan sukan di padang sekolah berkenaan pada jam 10.30 pagi hari ini,” kata kenyataan itu.

Katanya, berdasarkan laporan awal, sebuah traktor pemotong rumput sedang menjalankan kerja pemotongan rumput berhampiran aktiviti raptai iaitu pada jarak 30 meter.

“Ketika traktor itu berhenti, satu bunyi yang kuat didengari oleh semua murid yang terlibat dalam raptai ini sebelum guru-guru yang bertugas mengawal raptai mendapati tiga murid tercedera di bahagian kepala iaitu dua pelajar dari tingkatan dua dan seorang murid dari tingkatan satu.

“Pihak sekolah telah menghubungi Klinik Kesihatan Gemas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) dan polis bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

“Dalam kejadian berkenaan seorang pelajar tingkatan dua iaitu Nur Afini Roslan telah meninggal dunia akibat kecederaan di kepala manakala dua lagi pelajar dihantar ke Klinik Kesihatan Gemas untuk rawatan lanjut,” kata KPM dalam kenyataan tersebut.

Tambah KPM, pihaknya melahirkan rasa simpati dan kesal dengan kejadian yang menimpa tiga pelajar tersebut dan merakamkan takziah kepada ahli keluarga mangsa terlibat.

Pada masa yang sama JPN Negeri Sembilan juga diarahkan membantu keluarga murid yang terlibat dalam insiden itu.

“KPM juga telah memohon kerjasama semua pihak supaya menghentikan penyebaran maklumat (menularkan) berkaitan kejadian itu sebagai menghormati perasaan keluarga murid itu termasuk para guru dan murid sekolah tersebut,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette