Home Utama Hutang luar Malaysia terurus – BNM

Hutang luar Malaysia terurus – BNM

KUALA LUMPUR – Hutang luar negeri Malaysia kekal terurus berdasarkan profil mata wang dan tempoh matang serta aset luaran yang tersedia dalam jumlah yang besar.

Lebih satu pertiga daripada jumlah hutang luar negeri adalah dalam denominasi ringgit (34.3%), terutamanya dalam bentuk pemegangan sekuriti hutang domestik dan deposit ringgit oleh bukan pemastautin dalam institusi perbankan domestik.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, setakat 31 Disember lalu, hutang luar negeri negara berjumlah RM883.4 bilion, bersamaan dengan AS$215.5 bilion atau 65.3% daripada KDNK.

Oleh itu, liabiliti ini tidak tertakluk kepada perubahan penilaian yang berpunca daripada turun naik kadar pertukaran ringgit.

Baki hutang luar negeri sebanyak RM580.7 bilion (65.7%) adalah dalam denominasi mata wang asing dan tertakluk kepada keperluan amalan pengurusan mudah tunai dan perlindungan nilai yang berhemat terhadap institusi perbankan dan syarikat.

Sebahagian besar daripada obligasi ini terdiri daripada peminjaman luar pesisir, yang diperoleh terutamanya untuk mengembangkan kapasiti produktif dan mengurus sumber kewangan kumpulan korporat yang lebih baik.

Pada akhir bulan Disember 2017, pinjaman luar pesisir kekal rendah pada 37.5% daripada KDNK berbanding dengan 60.0% daripada KDNK semasa Krisis Kewangan Asia.

Daripada jumlah hutang luar negeri dalam mata wang asing (meliputi kesan penilaian), lebih satu pertiga (atau berjumlah RM211.6 bilion) merupakan pinjaman antara bank dan deposit mata wang asing dalam sistem perbankan domestik.

BNM menambah, lebih separuh daripada jumlah hutang luar negeri menjurus pada tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang (57.3% daripada jumlah hutang luar negeri), menggambarkan bahawa risiko pembiayaan semula adalah terhad. – MalaysiaGazette