PULAU PINANG – Seorang bayi perempuan berusia dua bulan maut dipercayai didera dalam kejadian di Kampung Tok Panjang, Bukit Mertajam, di sini hari ini.
Difahamkan, bayi itu meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam tadi ketika dibawa ke sebuah klinik pakar kanak-kanak di Sungai Rambai, Bukit Mertajam oleh bapanya yang berusia 22 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Tengah, Asisten Komisioner Nil Ros Azhan Nik Ab. Hamid, anak bongsu daripada dua beradik itu pada mulanya didakwa bapanya yang bekerja sebagai pemandu berada dalam keadaan lemah sebelum dibawa ke klinik.
Bagaimanapun, tambahnya, doktor di klinik terbabit meminta bapa mangsa membawanya ke hospital selepas mendapati denyutan nadi bayi berkenaan semakin lemah.
“Ketika mahu dibawa ke hospital, bapa mangsa mendapati anaknya itu sudah tidak bergerak dan berpatah semula ke klinik tersebut dan doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan kecederaan pada badan mangsa.
Susulan itu, ujarnya, polis menahan bapa mangsa petang ini untuk siasatan lanjut dan bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan di HSJ pukul 10 pagi esok.
Ujar beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 1(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.- MalaysiaGazette
[…] Bayi perempuan 2 bulan maut dipercayai didera […]