Home Utama Penyertaan Israel dalam WUF 9 jemputan PBB – Anifah

Penyertaan Israel dalam WUF 9 jemputan PBB – Anifah

Anifah Aman

PETALING JAYA – Penyertaan wakil Israel dalam Forum Urban Dunia Kali Ke-9 (WUF9) adalah jemputan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berkata, jemputan itu dikeluarkan oleh PBB menerusi Program Penempatan Kemanusiaan (UN-Habitat), selaku penganjur WUF9.

Surat jemputan kepada Israel ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif UN-Habitat adalah selaras dengan Perjanjian Negara Tuan Rumah yang ditandatangani di antara organisasi itu dan Malaysia.

Katanya, Artikel III dari perjanjian tersebut di antaranya menyatakan penyertaan dalam forum itu dibuka antara lainnya kepada keseluruh keanggotaan PBB dan mana-mana agensi khususnya (Specialized Agencies).

Perjanjian Negara Tuan Rumah itu adalah syarat bagi mana-mana persidangan PBB untuk diadakan di luar mana-mana ibu pejabat PBB yang sedia ada.

“Tidak seperti surat jemputan kepada negara-negara yang lain, surat jemputan kepada Israel tidak ditandatangani oleh mana-mana pegawai Malaysia.

“Oleh itu, tohmahan bahawa Malaysia secara senyap-senyap mewujudkan hubungan dengan Israel melalui penganjuran forum ini adalah tidak timbul sama sekali.

“Pendirian Malaysia terhadap Israel tetap tidak berubah. Apa jua penyataan sebaliknya hanya sekadar membuktikan niat jahat dan berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

WUF9 telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 7 hingga 13 Februari lalu melibatkan lebih daripada 25,000 peserta dari 69 buah negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast