KUALA LUMPUR – Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah mengecam Wee Meng Chee atau Namewee susulan video biadab yang didakwa menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia.

Abdul Rani mempertikai tindakan Namawee yang membuat sebuah video bertopeng anjing di depan pusat pentadbiran Putrajaya dan berhampiran masjid yang disifatkan kurang ajar mengguris hati umat Islam khususnya.

“Dia (Namaewee) nak buat video sempena tahun anjing ke apa tak kisah buatlah tetapi jangan berlatar belakangkan pusat pentadbiran kerajaan seperti Putrajaya dan kediaman pemerintah atau masjid tetapi buatlah dekat tokong dia,” kata beliau selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini.

Abdul Rani hadir bersama rakan-rakan NGO lain membuat laporan polis terhadap Namawee.

Mengulas lanjut laporan polis hari ini Abdul Rani berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan segera ke atas Namewee secepat mungkin.

“Tujuan kami membuat laporan adalah untuk menggesa PDRM, KDN, SKMM, SPRM dan KSU KDN.

“Kenapa saya sebut KSU KDN (sebab kami mahu beliau) batalkan dokumen perjalanan individu yang bernama Namewee serta mengambil tindakan tegas terhadap beliau kerana perkara yang sama telah banyak kali berlaku tetapi tetap terlepas (dari sebarang tindakan),” katanya lagi.

Minggu lepas, Namawee memuat naik klip video terbaharunya bersempena Tahun Baru Cina bertajuk “Like a Dog” yang memaparkan sekumpulan individu memakai topeng anjing yang didakwa mengandungi aksi tarian lucah berdekatan Bangunan Perdana Putra, Putrajaya yang menempatkan pejabat perdana menteri.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam dilapor berkata polis telah membuka kertas siasatan terhadap penyanyi rap Namewee berhubung klip videonya yang mengguris sensitiviti masyarakat berbilang kaum. – MalaysiaGazette